Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengasuh ditahan reman bantu siasatan kes dera
Diterbitkan:  Nov 28, 2014 8:47 AM
Dikemaskini: 1:05 AM

Polis menahan seorang pengasuh wanita bagi membantu siasatan kes dipercayai dera membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 10 bulan di sebuah taska di Taman Seri Murni, di Butterworth.

    

Jurucakap polis berkata wanita berusia 22 tahun itu, yang bekerja di taska berkenaan, ditahan semalam selepas ibu bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

    

"Ibu bapa kanak-kanak itu mengambil anak mereka di taska itu pada 3 petang kelmarin dan mendapati kesan lebam dan cubitan di beberapa bahagian badan anak mereka.

    

"Pasangan berusia 26 tahun itu membawa anak mereka ke klinik dan doktor mengesahkan kesan lebam dan cubitan di muka, badan dan lengan kanak-kanak berkenaan dipercayai akibat didera," katanya semalam.

    

Berikutan itu, pasangan berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua di sini.

    

Jurucakap itu berkata pasangan itu menghantar anak sulung mereka ke taska berkenaan sejak beberapa bulan lepas dan sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian seperti itu.

    

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

    

Wanita itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan, katanya.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS