Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibrahim Ali ancam saman CEO The Star
Diterbitkan:  Nov 28, 2014 4:30 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali mengancam untuk menyaman pengarah urusan kumpulan The Star , Datuk Wong Chun Wai sebanyak RM500,000 atas satu tulisan wartawan veteran tersebut yang didakwa memfitnah dirinya.

Laporan The Star menyebut, peguam Wong menerima surat tuntutan daripada peguam Ibrahim pada hari Selasa lalu, yang menuntut agar tulisan yang disiarkan pada 2 November lalu ditarik balik.

Ibrahim juga menuntut agar Wong berjanji untuk tidak menulis kenyataan seperti itu lagi di masa hadapan, serta gantirugi RM500,000 untuk kerugian yang didakwa dialaminya.

Tulisan bertajuk 'A mind-boggling spin' yang disiarkan di pojok Wong mempersoalkan pertimbangan peguam negara atas keputusan tidak mendakwa Ibrahim mengikut Akta Hasutan.

Wong dalam reaksinya berkata, peguamnya sudah diberi arahan untuk mengeluarkan jawapan kepada surat tuntutan Ibrahim.

“Pendirian saya tetap sama. Golongan moderat akan terus bersuara,

“Katakan tidak pada tindakan pelampau. Jika kes ini berlarutan di mahkamah, kita akan terus lawan,” katanya.

Tulisannya itu berhubung kontroversi yang timbul susulan kenyataan Ibrahim pada awal 2013, yang menyatakan bahawa bible berbahasa Melayu dengan kalimah 'Allah' perlu dibakar.

Peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail bagaimanapun memutuskan bahawa kenyataan Ibrahim tidak cenderung pada hasutan kerana hanya merujuk kepada pelajar Islam yang didakwa diberikan naskhah Bible tersebut berdekatan SMK Jelutong, dan juga kerana Ibrahim hanya mempertahankan Islam.

Lihat Komen
ADS