Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Orang Asli didengar semula Mahkamah Tinggi
Diterbitkan:  Nov 29, 2014 8:00 AM
Dikemaskini: 7:09 AM

Mahkamah Rayuan Putrajaya mengembalikan kepada Mahkamah Tinggi Kuantan untuk mendengar semula kes sivil 82 Orang Asli yang menuntut hak terhadap tanah nenek moyang mereka seluas lebih 7,000 ekar di kawasan antara Maran dan Kuantan.

Barisan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dengan sebulat suara membenarkan rayuan mereka untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan menolak saman pemula yang difailkan keluarga Orang Asli dari suku kaum Semaq Beri itu.

Hakim Abdul Aziz yang bersidang bersama Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Dr Prasad Sandosham Abraham memerintahkan kes itu dikembalikan untuk didengar semula di hadapan hakim baru mengenai isu membuktikan hak adat mereka terhadap tanah itu.

Penghakiman lisan itu disampaikan oleh Hakim Abraham yang memberitahu mahkamah berpendapat bahawa dua keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah betul apabila menyatakan Orang Asli di Semenanjung mempunyai hak di bawah common law terhadap tanah pusaka mereka.

Kedua-dua keputusan Mahkamah Rayuan itu membabitkan kes Adong Kuwau dan kes Sagong Tasi.

Adong Kuwau mengemukakan tindakan terhadap kerajaan Johor berhubung dengan tanah pusakanya manakala Sagong Tasi dan 26 keluarga lain dari sukukaumm Temuan memfailkan saman sivil berhubung dengan tanah nenek moyang merekadi Kampung Tampoi, Selangor.

Yebet dan 81 orang lain dari Kampung Mengkapur, dekat KM 59 Jalan Kuantan-Maran, Pahang mengemukakan saman pada 2012 terhadap subkontraktor Foong Kwai Long, LKPP Corporation Sdn Bhd, Kerajaan Negeri Pahang, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Asli, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Pahang dan kerajaan Malaysia.

Mereka antara lain memohon perintah injunksi dan pengisytiharan berhubung tanah adat mereka dan pampasan yang mencukupi untuk kegunaan dan/atau pemberian hakmilik tanah adat serta ganti rugi kerana melanggar perlembagaan, statutori dan/atau tanggungjawab fidusiari kepada mereka.

Mereka mendakwa telah menduduki tanah adat itu sejak dahulu lagi tetapi kemudian dipindahkan sementara oleh kerajaan semasa Darurat (1948-1960) atas sebab-sebab keselamatan.

Mereka kembali ke tanah adat itu untuk mengusahakan dusun, mencari produk hutan dan melawat tapak suci dalam tempoh itu dan pada 1970, sebahagian daripada mereka kembali secara kekal ke Kampung Mengkapur.

Pada 2010,  Orang Asli itu mendakwa mereka telah menemui notis tentang aktiviti pembalakan meliputi sebahagian hutan di tanah adat mereka dan kira-kira 1,000 ekar telah diberi milik bagi ladang kelapa sawit.

Pada 20 Januari tahun ini, Mahkamah Tinggi di Kuantan menolak saman pemula yang difailkan mereka dan tidak mengiktiraf hak yang dituntut oleh Orang Asli itu.

Orang Asli itu diwakili sekumpulan peguam diketuai Steven Thiru, peguam Datuk Nor Zakiah Abdul Majid mewakili LKPP Corporation dan sub kontraktor, peguam kanan persekutuan Noor Hisham Ismail mewakili kerajaan Malaysia, peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambali mewakili kerajaan negeri Pahang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS