Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berikrar akan mengambil tindakan segera terhadap individu yang terlibat bawah Akta Hasutan selepas ia diperkasakan.

Dalam ucapan penggulungannya, beliau memberi statistik pesalah bawah Akta Hasutan pada 2010 sebanyak 40 orang berbanding 12 orang pada tahun ini.

"Semuanya (12 orang) telah dituduh. Selepas akta ini diperkasakan oleh Perdana Menteri saya akan terus mengambil tindakan segera kepada pesalah ini," kata Zahid.

"Jadi perlu kerjasama SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia, Jabatan Peguam. Jangan salahkan polis, polis siasat (dan) tangkap.

"Adakah saya fundamentalis, hardcore? Saya diletakkan sebagai menteri dalam negeri kerana tuan-tuan mengundi saya" kata Zahid.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Akta Hasutan 1948 dikekalkan dan diperkasakan dengan sekurang-sekurang dua perkara - iaitu peruntukan khas untuk melidungi kesucian Islam dan agama lain serta mengambil tindakan jika ada pihak mahu memisahkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia.

Dalam ucapannya juga, Zahid turut menayangkan video klip yang menunjukkan tindakan anggota militan Negara Islam (IS) memegang pisau seterusnya mengheret dan meniarapkan tebusan untuk disembelih dalam satu barisan.

Bagaimanapun, penyembelihan itu tidak disiarkan dan hanya skrin hitam ditunjukkan.

"Oleh itu berilah kepercayaan kepada perdana menteri untuk membentang akta baru, Akta Anti Keganasan," katanya lagi.

Beliau juga mengarahkan semua ahli dan jentera Umno berada dalam siap siaga dan dalam mood perang untuk memenangi jumlah kerusi lebih dua pertiga pada pilihan raya umum ke-14.

Sehubungan itu, beliau yang juga pengerusi Biro Latihan dan Penyeldikan Umno akan menyediakan kursus 'Keris 2314' yang diwajibkan dihadiri oleh seluruh anggota parti bagi tujuan tersebut.

Keris 2314 bermaksud menang dua pertiga parlimen pada pilihan raya umum ke-14.

"Siapa ponteng, tak datang, perdana menteri jangan beri pertimbangan untuk jadi calon pilihan raya," katanya.

Lihat Komen
ADS