Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa ADUN BN tidak akan menerima wang peruntukan sebanyak RM200,000 setahun yang akan diberi oleh kerajaan negeri mulai tahun depan.

Beliau bagaimanapun meminta supaya kerajaan negeri menyalurkan seluruh wang tersebut yang berjumlah RM700,000 kepada penyelaras DUN untuk disampaikan kepada rakyat.

"Pakatan bagi RM700,000 teruslah (kepada rakyat) sebab dia dah bagi kepada penyelaras DUN.

“Walaupun (ADUN BN) tak ada sesen pun peruntukan masih boleh berkhidmat kepada rakyat," kata ADUN Sungai Burong itu ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Annex, Shah Alam.

Selain itu, ditanya sama ada kerajaan Persekutuan ada memberikan peruntukan kepada ADUN BN di Selangor, Shamsudin berkata tiada.

Tetapi Shamsudin berkata, kerajaan Persekutuan telah melakukan melalui kaedah tidak langsung, melalui pelbagai bantuan kepada kumpulan sasaran.

"Dasar kerajaan persekutuan adalah untuk beri BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) terus kepada rakyat. Kerajaan juga banyak peruntukan pada rakyat seperti jalan, sekolah.

“Dia (kerajaan persekutuan) tak bagi (kepada ADUN BN). Itu terpulang pada mereka dan kita pun tak minta," katanya lagi.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali Khamis lalu 'merayu' kepada ADUN BN supaya menerima wang peruntukan sebanyak RM200,000 setahun yang akan diberi oleh kerajaan negeri.

Ketika berucap pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2015, Azmin meminta supaya wang itu diterima demi kepentingan rakyat.

Lihat Komen
ADS