Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan hukuman penjara dan denda RM20,000 terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kerana menghina mahkamah.

"Walaupun saya telah menjalani hukuman penjara sehari, saya menerimanya dengan baik," kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kepada pemberita selepas keputusan mahkamah itu di Putrajaya.

Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Nov 2013, berkata beliau pernah ditahan sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Syukur kepada Allah S.W.T kerana selama ini, saya tahu bahawa saya sebenarnya tidak bersalah," katanya.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membenarkan rayuan Ibrahim untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah kerana menghina mahkamah berhubung penerbitan sebuah artikel dalam laman web berkaitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V T Singham.

Dalam permohonannya itu, Anwar mendakwa artikel itu mengandungi serangan peribadi terhadap hakim berkenaan yang terjumlah kepada penghinaan dan telah disiarkan sebelum beliau membuat keputusan.
 
Pada 21 Januari tahun lepas, Singham membuat keputusan memihak kepada Anwar dalam samannya terhadap Utusan Melayu berkaitan penyiaran dua artikel mengenai temubual Anwar dengan British Broadcasting Corporation (BBC) berkaitan undang-undang homoseksual.
 
Ibrahim kemudiannya memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana menghina perintah mahkamah dengan alasan beliau dan Perkasa tidak bertanggungjawab ke atas artikel berkenaan dan tidak mempunyai kawalan ke atas laman web tersebut.
 
Namun, permohonan itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2013.
 
Di luar mahkamah, Ibrahim, yang diwakili peguam Adnan Seman memberitahu pemberita bahawa prinsip beliau ialah sentiasa menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
 
Menurut Ibrahim, jika beliau melakukan sebarang kesalahan, beliau akan mengakui kesalahannya dan tidak ke mahkamah hanya untuk mempertahankan apa yang salah tetapi jika beliau tidak melakukan kesalahan, pastinya beliau akan menuntut keadilan.
 
Dalam pada itu, peguam yang mewakili Anwar, R Sivarasa berkata beliau akan mengkaji penghakiman berkenaan sebelum membuat keputusan sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
 
- Bernama

Lihat Komen
ADS