Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS berikrar untuk terus berkempen untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang diumumkan kekal oleh perdana menteri.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar membuat pengumuman itu dalam kenyataannya tengah hari ini.

"Pengumuman perdana menteri untuk mengekalkan Akta Hasutan tidak sedikit pun menggugat keyakinan PAS untuk terus berganding bahu dengan semua pihak untuk memperjuangkan agar akta ini dimansuhkan.

"Bahkan PAS akan memperhebatkan kempen besar-besaran secara menyeluruh ke seluruh negara untuk menuntut pemansuhan Akta Hasutan dan lain-lain undang-undang yang zalim dan tidak demokratik," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Mahfuz lagi, beliau melihat akta itu digunakan untuk "memperkukuh kuasa politik Umno dan BN" semata-mata.

Ini kerana tegasnya, negara sudah mempunyai peruntukan undang-undang lain untuk menghalang usaha menanam kebencian dan penghinaan antara kaum dan agama.

Jelasnya, Kanun Keseksaan menerusi Seksyen 298, 298A, Seksyen 499, Seksyen 504 dan Seksyen 505 memainkan peranan untuk menghalang perkara tersebut.

"Dengan adanya peruntukan-peruntukan ini semua, maka tidak ada alasan lagi kenapa akta warisan penjajah ini perlu dikekalkan," kata Mahfuz.

Lihat Komen
ADS