Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno mungkin menyiasat ucapan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno yang didakwa melanggar larangan menyentuh isu sensitiviti kaum yang mengguris perasaan bangsa lain.

"Kita akan lihat, kita akan lihat," kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ringkas kepada pemberita selepas sidang medianya di ibu negara pagi ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menjawab soalan sama ada tindakan akan diambil terhadap perwakilan yang bertindak demikian.

Sebelum ini, kepimpinan tertinggi Umno termasuk Tengku Adnan sendiri menasihatkan perwakilan supaya tidak menyentuh isu berbaur perkauman dan keagamaan dalam perbahasan mereka di Perhimpunan Agung Umno.

Bagaimanapun, beberapa perwakilan termasuk Datuk Dr Mashitah Ibrahim Mashitah menggesa perwakilan Wanita dan umat Islam supaya tidak menjadi 'majoriti senyap' apabila kewibawaan Islam tercabar.

Bekas timbalan menteri itu berkata beliau telah diberitahu bahawa terdapat dakwaan bukan Islam di sebuah negeri di utara membakar helaian al-Quran pada waktu sembahyang.

Sementara wakil Umno Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Said mendakwa kegiatan seperti perjudian dan pelacuran merupakan "sumber kekuatan Cina yang tidak menyokong BN" di Pulau Pinang.

Kemudiannya beliau menjelaskan hanya "segelintir" Cina di negeri itu menjadi kaya hasil duit haram.

Hal demikian mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk Biro Hak Asasi Manusia dan Undang-undang Pusat Gerakan yang mendakwa beberapa perwakilan Umno didakwa menghasut dalam perhimpunan agung itu.

Sementara DAP pula membuat laporan polis dan Mashitah pula berkata tidak gentar disaman.

Tengku Adnan sebelum itu mengadakan lawatan turun padang ke projek River of Life di empat lokasi dekat Bangkok Bank, Jambatan Lebuh Pasar Besar, Masjid Jamek dan tapak pembinaan Count Down Clock.

Lihat Komen
ADS