Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Liberalisme paling banyak hina Islam

Fahaman liberalisme dan pluralisme dilihat antara bentuk penghinaan terhadap agama Islam paling banyak berlaku kebelakangan ini, persidangan Dewan Negara dimaklumkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan mengenal pasti bentuk penghinaan itu berdasarkan laporan daripada Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Ini (penghinaan Islam) merupakan perkara hasil rentetan daripada pandangan yang melihat Islam ini secara liberal, pluralisme dan ajaran yang melihat agama itu hanyalah hak individu yang tidak ada kaitan dengan pihak lain.

"Sedangkan golongan ini gagal memahami dan melihat bahawa peruntukan Perlembagaan yang telah dipersetujui secara bersama sejak dari awal kemerdekaan dahulu, iaitu pembinaan kepada perlembagaan itu, meletakkan Islam bukan sahaja sebagai agama rasmi tetapi juga sebagai agama Persekutuan," katanya.

Jamil Khir berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Johari Mat yang ingin tahu apakah bentuk penghinaan agama Islam yang sering kali berlaku secara sengaja dan tidak sengaja kebelakangan ini.

Beliau berkata kerajaan memandang serius perkara itu dan menjalankan kerjasama erat dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya.

Isu program sentuh anjing selesai

Mengenai status siasatan program 'I Want To Touch A Dog', Jamil Khir berkata perkara itu telah pun diselesaikan apabila penganjur program memberi penjelasan, memohon maaf secara terbuka dan diberi amaran untuk tidak mengulangi penganjuran program seumpama itu.

Bagaimanapun Pihak Berkuasa Tempatan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri akan terus memantau program lain yang dilaksanakan penganjur itu bagi memastikan program yang menyentuh sensitiviti agama tidak berulang, katanya.

Program 'I Want To Touch A Dog' yang diadakan pada 19 Okt di Central Park, One Utama, Petaling Jaya dekat Kuala Lumpur telah mencetuskan perdebatan hangat khususnya dalam kalangan umat Islam kerana bercanggah dengan mazhab Shafie.

- Bernama

Lihat Komen
ADS