Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Umno Selangor tidak berminat lagi mengisi jawatan ketua pembangkang negeri buat masa ini ekoran peletakan jawatan penyandangnya Datuk Shamsudin Lias semalam.

Timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Abdul Shukor Idrus ( bawah ) berkata, ini kerana ketua pembangkang secara automatik dilantik pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negeri – jawatan yang ditolak mereka.

Beliau mengesahkan perkara itu ketika selepas memberitahu Malaysiakini bahawa Umno Selangor akan meneliti peraturan dewan sama ada ketua pembangkang wajib dilantik.

"Jika tidak ada (peruntukan mewajibkan), kami, semua 12 ADUN (Umno) boleh jadi ketua pembangkang secara bergilir-gilir (secara tidak rasmi)," katanya sebelum itu.

Beliau ditanya sama ada Umno tidak berminat lagi mengisi kekosongan itu memandangkan pendirian mereka menolak jawatan PAC negeri, walaupun beberapa kali dilantik.

Shukor sekali lagi menegaskan mereka menolak mengetuai PAC kerana enggan menjadi “boneka” dalam jawatankuasa yang majoritinya dianggotai ADUN Pakatan.

Shamsudin  semalam meletak jawatan sebagai ketua pembangkang selepas DUN Selangor mewajibkan penyandang ketua pembangkang secara automatik mengetuai PAC.

Sementara itu, Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar juga dilapor berkata BN tidak berhasrat mengisi jawatan ketua pembangkang buat masa ini.

"Kalau tidak (jawatan) mandatori, mungkin kita tak perlu ada ketua pembangkang sebab kita datang daripada satu parti,” katanya seperti dilapor portal Antarapos .

Lihat Komen
ADS