Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Agensi Bernama melaporkan Amerika Syarikat menawarkan untuk membantu Malaysia membina loji nuklear, diambil maklum oleh Doktor-doktor Malaysia untuk Tanggungjawab Sosial (MPSR).

MPSR sedang bergerak secara serius untuk meyakinkan kerajaan Malaysia bahawa projek sedemikian bukanlah pilihan tenaga yang bijak dan berdaya maju daripada segi ekonomi.

Ini kerana ia membawa risiko berpanjangan serta tiada upaya secara ekonomi. Selain itu, ia tidak boleh diterima secara sosial dan tidak mesra alam sekitar.

Cadangan kerajaan untuk menjana tenaga nuklear pada tahun 2009 berasaskan mitos tenaga nuklear itu murah, bersih dan selamat.

Maklumat salah berkenaan tenaga nuklear disebarluaskan pihak-pihak berkepentingan dalam industri nuklear semenjak dakwaan palsunya bahawa tenaga nuklear “terlalu murah untuk dikenakan bayaran.”

Terdapat bukti-bukti kukuh yang menunjukkan belanja menjana elektrik daripada tenaga nuklear lebih mahal berbanding dengan tenaga elektrik daripada bahan bakar fosil atau tenaga boleh diperbaharui.

Firma Moody’s Corporate Finance (firma kewangan yang menganalisis kadar risiko kewangan) baru-baru ini menganggarkan kos modal tenaga nuklear per kilowatt adalah 275 peratus lebih mahal daripada tenaga angin dan 150 peratus lebih tinggi berbanding tenaga suria.

Jerman, Sweden dan Amerika Syarikat sedang menutup loji-loji nuklearnya kerana pendapatan yang diperoleh tidak dapat menampung belanja operasi loji tersebut.

Industri nuklear sedang merosot di seluruh dunia. Laporan bagi tahun 2014 untuk World Industry Status Report menganalisa perubahan pantas dalam ekonomi nuklear, revolusi teknologi dalam sektor tenaga serta kesan tenaga boleh diperbaharui terhadap status dan daya maju kewangan tenaga nuklear.

Ia meramalkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui akan meningkat dengan pesatnya, bahawa pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui akan menjadi dominan serta akan melangkaui pelaburan dalam stesen janakuasa bahan bakar fosil dan loji tenaga nuklear.

Loji-loji tenaga nuklear mudah terdedah kepada kemalangan. Greenpeace merekodkan 99 kemalangan kecil nuklear di seluruh dunia dalam tempoh waktu 1952-2009.

Setiap satu daripada kemalangan tersebut berpeluang untuk berkembang menjadi bencana besar.

Kemalangan besar nuklear bukan suatu hal yang biasa tetapi apabila berlaku ia membawa malapetaka. Contoh yang menakutkan ialah Chernobyl dan Fukushima.

Fukushima menyebabkan Jepun tunduk menyerah. Air yang banyak dipam setiap hari ke dalam tiga reaktor yang rosak untuk menyejukkan rod bahan api radioaktif.

Air yang tercemar dengan bahan radioaktif kemudiannya disimpan ke dalam tangki-tangki yang mulai membocor.

Ramai pakar berpendapat, tidak lama lagi, kerajaan Jepun tiada pilihan melainkan membuang air tersebut ke lautan Pasifik.

Salah satu ciri berbahaya dan tidak boleh diterima pada sesebuah loji nuklear itu apabila ia menghasilkan sisa beracun yang akan kekal radioaktif selama ribuan tahun.

Misalnya, plutonium memiliki separuh jangka hayat selama 24,400 tahun.

Secara mutlaknya, masih tidak ada cara untuk menghapuskan sisa-sisa tersebut. Dari segi fitrah dan praktikalnya, tidak ada pengakhiran terhadap bahaya-bahaya radiasi.

Jikalau nenek moyang kita memilih tenaga nuklear, kita dalam abad ke-21 hari ini akan terpaksa memikul beban dan terdedah terhadap bahaya radiasi.

Jikalau kerajaan Malaysia berkeras untuk meneruskan pembinaan loji tenaga nuklear itu, jelas diketahui ia akan mewariskan sisa beracun buat generasi akan datang.

Amatlah tidak beretika dan bermoral untuk mewariskan mereka pusaka bertoksik. Hal ini kerana masih ada sumber-sumber tenaga alternatif, seperti tenaga boleh diperbaharui.

Beberapa persoalan serius

Kerajaan Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan mesti menjawab beberapa persoalan penting. Di mana bukti tenaga nuklear murah, bersih dan selamat? Di mana sokongan masyarakat?

Di mana proses dialog yang jujur, perbahasan terbuka dan perundingan wajar dengan rakyat Malaysia?

Bolehkah kerajaan merasa yakin bahawa budaya urus selia dan keselamatan kita akan dapat menghalang malapetaka serupa Chernobyl atau Fukushima?

Lebih krtikal lagi, bagaimana kerajaan akan menguruskan pelupusan kekal dan selamat terhadap sisa radioaktif yang berjangka hayat cukup lama itu?

Akhir sekali, tidak adakah tanggungjawab moral dan etika terhadap kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan generasi akan datang?

Kebanyakan kerajaan memahami apa yang terjadi dalam industri nuklear dan secara berperingkat-peringkat sedang menghentikan pergantungan terhadap tenaga nuklear.

Kerajaan-kerajaan ini juga lebih memilih tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan penggunaan tenaga.

Kerajaan Malaysia tidak boleh mengetepikan trend global yang bertanggungjawab dan wajar itu dengan meneruskan rancangan pembinaan loji tenaga nuklear.

Ia boleh menyebabkan malapetaka, melumpuhkan-negara dan sebuah bom jangka radioaktif untuk generasi akan datang rakyat Malaysia.


DR RONALD McCOY ialah bekas presiden Persatuan Perubatan Malaysia dan sekarang ini anggota majlis antarabangsa untuk Doktor-doktor Malaysia untuk Tanggungjawab Sosial. Artikel di atas diterjemah oleh Anak Malaysia Anti Nuklear (AMAN).

Lihat Komen
ADS