Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan aktivis siswa Universiti Malaya mendirikan enam khemah di hadapan pintu masuk utama ke kampus tersebut malam ini sebagai tanda solidariti bersama tujuh orang rakan mereka yang dikenakan tindakan.

Jurucakap kumpulan tersebut, Ahmad Aqiel berkata ia didirikan sejak tengahari dan menarik penyertaan kira-kira 40 orang mahasiswa setakat ini.

Pelajar jurusan Pengajian Islam itu berkata lebih banyak lagi khemah akan didirikan sekiranya perkhemahan digelar “Occupy UM” itu disertai lebih ramai siswa.

Kumpulan berkenaan tidak berganjak dan terus berada dalam khemah mereka walau dalam keadaan hujan lebat pada kira-kira jam 11 malam ini.

Kalangan siswa berkenaan turut membawa poster dengan slogan “Bebaskan Mahasiswa”, “HEP Boneka” serta “Mansuh AUKU”.

Ada di kalangan mereka turut mengambil peluang untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat tugasan dalam suasana penuh meriah itu.

“Kami akan tetap berada di sini sehingga mereka (pentadbiran universiti) tarik balik hukuman itu. Saya bersama rakan-rakan saya di sini tidak akan patah semangat dan terus berjuang,” katanya.

Beberapa orang pemimpin siswa tersebut turut berucap untuk menjelaskan tujuan mereka berkhemah dan mengadakan perkhemahan tersebut.

Tujuh orang rakan mereka, termasuk bekas presiden persatuan pelajar, Fahmi Zainol, dikenakan hukuman ekoran penglibatan dalam satu program bersama ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada penghujung Oktober lalu.

Seramai 2,000 orang siswa UM menyertai perhimpunan dengan nama Anwar Ibrahim 40 Tahun Dari UM ke Penjara itu, pada malam sebelum ketua pembangkang itu hadir ke mahkamah bagi keputusan rayuan kes Liwat II.

UM semalam menggantung pengajian Fahmi selama dua semester dan mendendanya RM600 selepas disabitkan bersalah menganjurkan ceramah tersebut di kampus tanpa kebenaran.

Seorang lagi pelajar Safwan Shamsudin juga digantung pengajian, tetapi hanya untuk satu semester berkuatkuasa serta merta, didenda dan diberi amaran.

Sementaraitu,  empat yang lainnya diberi amaran dan didenda RM150 setiap seorang, manakala seorang pelajar dilepaskan dengan amaran.

Seorang lagi, Abraham Aw, didapati tidak bersalah oleh pihak pentadbiran universiti. Kesemua lapan orang siswa tersebut digelar sebagai UM8.

Lihat Komen
ADS