Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata para pesara harus mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan atau badan sukarela.

Beliau yang juga menteri pendidikan berkata, penglibatan itu perlu bagi mengupayakan diri dan memberi sumbangan yang bermakna untuk mengisi masa lapang.

Muhyiddin berkata, Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) anjuran kementeriannya juga membolehkan para pesara menambah kemahiran diri serta mempromosi aktiviti program tersebut.

"Saya ingin mencadangkan agar saudara saudari mengambil peluang persaraan ini untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan pihak kerajaan atau badan sukarela bagi mengupayakan diri dan memberi sumbangan yang bermakna dalam mengisi masa lapang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan penghargaan kepada pesara yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian dan mantan ketua jabatan di Majlis Jasamu Dikenang hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata lagi, selain dapat beristirahat bersama keluarga, seseorang pesara  juga boleh mengambil peluang dalam tempoh itu dengan beramal ibadat.

Katanya, bersara daripada perkhidmatan awam bukan bermakna berakhir segalanya, sebaliknya ia merupakan langkah permulaan ke suatu alam baru dalam kehidupan.

"Selain dapat beristirehat, daripada memikirkan beban tugas di pejabat, persaraan ini memberi peluang untuk saudara saudari menambah amal ibadat seharian bagi tujuan mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta di samping meluangkan masa bersama-sama keluarga tersayang.

"Dengan cara ini, saya yakin hari-hari mendatang bagi saudara saudari akan dipenuhi dengan suasana kehidupan yang sentiasa aktif, segar dan ceria," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS