Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UDA: Roboh rumah ikut prosedur undang-undang
Diterbitkan:  Dec 12, 2014 9:29 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Tindakan meroboh baki rumah di Kampung Tanjung Tokong adalah mengikut prosedur undang-undang dan perintah mahkamah, kata Pengarah Urusan Kumpulan UDA, Ahmad Abu Bakar.

Beliau berkata mahkamah turut memberi kebenaran kepada pihaknya untuk menjalankan pembangunan semula di tapak kampung berkenaan.

"Kami amat prihatin dengan masalah yang dihadapi penduduk malah telah beberapa kali menunda hasrat merobohkan rumah mereka atas dasar perikemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya UDA telah mengeluarkan notis pada 8 November 2012 apabila penduduk tidak memberi maklum balas terhadap tawaran yang diberikan kepada mereka, diikuti notis peguam pada 12 Disember 2012 dan 14 Januari 2013.

Beliau berkata penduduk telah diberi cukup masa untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan sebelum notis mahkamah berikutnya dikeluarkan pada 19 Jun 2013.

"Kes tidak mahu berpindah ini sebenarnya hanya melibatkan beberapa buah keluarga kecil dan kebanyakan mereka tidak mendiami kampung itu," kata Ahmad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden kekecohan melibatkan 200 penduduk yang cuba menghalang kerja meroboh sebuah rumah penduduk kelmarin.

Suasana menjadi tegang sehingga menyebabkan lima pemuda ditahan polis namun mereka dibebaskan kemudiannya.

Hasil rundingan ADUN Tanjong Bungah, Teh Yee Cheu, perhimpunan itu bersurai kemudiannya dan pihak pemaju bersetuju untuk memberi tempoh tujuh hari lagi bagi keluarga terlibat mengosongkan kediaman mereka.

Katanya buat masa ini, 241 keluarga sudah ditempatkan di rumah transit lebih dari tiga tahun dan kesemua mereka akan dipindahkan sebaik sahaja projek pembangunan di kampung berkenaan siap.

Ahmad berkata UDA telah bersetuju untuk mengecualikan bayaran sewa rumah selama tiga tahun di samping memberi sebuah rumah percuma untuk setiap keluarga terlibat mengikut kelayakan yang ditetapkan.

Katanya UDA turut memperuntukkan hampir 1.6 hektar tanah untuk dijadikan Kampung Warisan Melayu Tanjung Tokong di samping membaik pulih Masjid Tuan Guru, Masjid Karwa dan sekolah agama di kawasan itu.

UDA memohon penduduk terlibat supaya menghormati keputusan yang telah ditetapkan sebelum ini dan mematuhi perintah mahkamah serta memenuhi hak pemaju, katanya.

"Apa yang ditawarkan UDA sememangnya menguntungkan penduduk terlibat dan tidak ditawarkan pemaju lain," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS