Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pemandu ambulans maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan ambulans Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM404 Lebuhraya Utara Selatan antara Tanjung Malim dan Lembah Beringin semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Zulkifli Bedin berkata turut cedera dalam kemalangan kira-kira 4 petang itu ialah tiga budak perempuan yang menaiki MPV berkenaan.

Beliau berkata lima sekeluarga menaiki MPV itu manakala ambulans HKL itu dinaiki empat orang termasuk pemandu kedua dan dua jururawat.

"Ambulans dan MPV itu berlanggar semasa hujan lebat menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas lalu terbalik ke bahagian kiri jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan pemandu ambulans maut di tempat kejadian, seorang jururawat cedera parah pada bahagian paru-paru manakala pemandu kedua dan seorang lagi jururawat cedera ringan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pemandu yang maut ialah Safar Ibrahim, 57, jururawat yang parah ialah Rabaitul Adawayah Samsudin, 24, manakala yang cedera ringan ialah Mohd Rudin Ahmad, 50, dan Normanan Farida Makhtar, 28.

Sementara itu, kesemua mangsa yang menaiki MPV itu cedera ringan iaitu pemandu Kok Chin Wei, 37, dan isterinya Lum Yoke Moi, 37, serta anak-anak mereka Chauyuet Jing, 14, Chauyaet Thong, 11, Chauyet Wen, 8," katanya.

Zulkifli berkata ambulans itu dalam perjalanan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh menuju ke HKL.

Pemandu yang maut dibawa ke HKL manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama

Lihat Komen
ADS