Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi berkata tindakan Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis terhadap isu syarikat pelaburan negara 1MDB dianggap sebagai "masalah individu berkenaan".

Zahid ( kanan ) berkata tindakan Khairuddin itu dibuat tanpa persetujuan daripada kepimpinan bahagian yang diwakilinya, apatah lagi dari Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang.

"Pada hemat saya, ia tindakan individu berkenaan dan 1MDB mengikut garis panduan sedia ada," katanya dalam sidang medianya pagi ini.

Bagaimanapun, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata ekoran laporan polis dibuat, pihak berkuasa itu akan membuat siasatan mengenainya.

"Laporan polis telah dibuat, polis akan membuka kertas siasatan dan akan melakukan siasatan mengikut prosedur seperti biasa," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mempertahankan kenyataannya mengenai kebenaran kepada orang bukan Islam di negeri itu menggunakan kalimah Allah.

"Kami ada bukti kenyataannya dan biarkan Jakim dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang menjelaskan kepadanya (mengenai perkara itu)," katanya.

Polis negeri itu telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Lim itu di bawah Kertas Enkuari Polis (KEP) selepas menerima satu laporan polis.

Manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mempertahankan setiausaha agung DAP dengan memetik panadangan sarjana Islam, termasuk Dr Sheikh Yusof Qardawi.

Lihat Komen
ADS