Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Draf Akta Antikeganasan dijangka dibentang kepada kabinet pada akhir Februari depan - sebelum persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula pada Mac 2015, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi.

Beliau berkata setakat ini pihaknya sedang mendapatkan maklum balas daripada pelbagai NGO pencegahan jenayah yang merasakan "perasaan ketaksuban menjadi seseorang itu menjadi pengganas".

"Apa yang kami lakukan, bahagian undang-undang KDN (Kementerian Dalam Negeri) sedang dalam proses untuk membuat draf (rang undang-undang) sebelum diperbincangkan secara terperinci dengan peguam negara dan dibentangkan kepada jemaah menteri sebelum di bawa ke Dewan Rakyat.

"Pembentangan Dewan Rakyat bulan Mac, sebelum itu dibentangkan ke kabinet, mungkin akhir Februari," katanya dalam sidang medianya pagi ini.

Sementara itu, Zahid berkata PDRM telah mengadakan bekerjasama dengan beberapa negara sahabat bagi mendapatkan maklumat mengenai laporan yang menyebut terdapat tebusan ditahan dalam sebuah kafe pusat Sydney hari ini.

Bagi berdepan situasi yang sama, naib presiden Umno itu berkata polis turut berkongsi maklumat dengan badan antarabangsa mengenai aktiviti keganasan di beberapa buah negara tertentu dan akan terus melaksanakan akta yang sedia ada seperti SOSMA bagi menangani isu keganasan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau organisasi secara langsung atau tidak, mempromosikan keganasan," tegas Zahid.

Turut bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Khalid berkata insiden yang berlaku di Sydney boleh menjadi pengajaran kepada Malaysia dan pihak sudah bersiap sedia jika situasi yang sama berlaku di negara ini.

Bahkan, katanya, pihaknya tidak bercadang untuk mengembangkan bahagian antiterorisme PDRM kerana merasakan sudah memadai ketika ini.

"Ia sudah cukup untuk mengendalikan ancaman IS (Islamic State) dan terorisme," katanya.

Lihat Komen
ADS