Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertemuan antara Sayap pemuda kumpulan pendesak Melayu, Wira PERKASA dengan Pemuda PAS yang dijadual berlangsung petang ini dibatalkan.

Makluman pembatalan itu dibuat Setiausaha Pemuda PAS Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus ( bawah ) kepada media sebentar tadi atas "sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan".

Dihubungi Malaysiakini, beliau berkata, pembatalan itu dibuat ekoran jadual Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat yang padat hari ini dengan beberapa lagi urusan parti.

"Bukan dengan Wira PERKASA sahaja, malah dua lagi pertemuan dan mesyuarat kita terpaksa batalkan atas sebab sama," katanya.

Makluman kepada pihak Wira PERKASA juga ujarnya, telah dibuat lewat malam tadi.

Ahmad Kerdee ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi menjelaskan bahawa kehadiran sayap PERKASA itu hanya sekadar kunjungan hormat ke atas mereka.

Beliau juga berkata, tiada sebarang agenda khusus dinyatakan Wira PERKASA selain isu Melayu Islam secara umum.

Sebelum ini, maklumat disebarkan di kalangan petugas media menyebut pertemuan itu akan berlangsung di pejabat agung PAS di ibu negara jam 4 petang ini dan satu sidang media akan diadakan selepas itu.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Wira PERKASA berhubung pembatalan itu.

PERKASA harap di masa lain

Sementara itu, Penolong Setiausaha Wira PERKASA Muhammad Zahiruddin Zulkamar berkata pihaknya dimaklumkan pembatalan itu awal pagi ini.

Menurutnya, ini adalah kali kedua pertemuan yang dirancang mereka terpaksa dibatalkan ekoran ketidaksesuaian masa kedua-dua pihak.

"Kita harap pertemuan ini tetap boleh diadakan selepas ini," katanya.

Lihat Komen
ADS