Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Analisis sokongan pengundi berdasarkan etnik tidak dapat dielakkan dalam konteks pilihan raya di Malaysia kerana pembentukan parti yang bertanding juga lebih berasaskan kepada etnik.

Data-data pilihan raya umum (PRU) ke-13 melibatkan tahap sokongan Melayu terhadap BN dan Pakatan Rakyat perlu dilihat dengan penuh prihatin khususnya oleh ahli-ahli PAS.

Hal ini kerana dalam konteks agihan kerusi di kalangan Paktan, rata-rata PAS bertanding di kerusi Melayu berhadapan dengan Umno khususnya di peringkat parlimen. Justeru, undi teras bagi PAS ialah pengundi Melayu.

Apabila DAP dan PKR yang secara umumnya bertanding di kerusi pengundi cina atau pengundi campuran berjaya mendapatkan maksima kemenangan di kerusi tersebut sedang PAS gagal memenangi kerusi Melayu, maka kuasa tawar menawar politik pasca PRU ke-14 tidak berada di tangan PAS.

Malah tidak pelik jika di saat itu rundingan pembentukan kerajaan hanyalah antara Umno mewakili kerusi Melayu dan DAP serta PKR mewakili kuasa politik Cina dan campuran. Dalam politik semuanya serba mungkin.

Cabaran PAS menang kerusi Melayu

Dalam PRU ke-13 lalu, daripada sebanyak 222 kerusi parlimen secara umumnya, terdapat 119 kerusi majoriti Melayu, 29 kerusi majoriti Cina, 36 kerusi campuran dan 38 kerusi Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Pakatan sangat kuat menyapu bersih 29 kerusi Cina dan 23 kerusi campuran namun lemah dengan hanya mendapat 36 kerusi Melayu dan satu kerusi Bumiputera Sabah dan Sarawak menjadikan semuanya 89 kerusi.

BN pula gagal memenangi walau satu pun kerusi Cina, hanya mendapat 13 kerusi campuran tetapi gagah dengan mendapat 83 kerusi Melayu dan 37 kerusi Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Ertinya cabaran besar Pakatan yang perlu ditanggung oleh PAS khususnya ialah memenangi 83 kerusi Melayu.

Manakala cabaran bagi DAP dan PKR ialah memenangi 37 kerusi Sabah dan Sarawak. Adapun di Semenanjung mereka hanya perlu bekerja keras merebut 13 lagi kerusi campuran.

Dengan andaian Pakatan mengekalkan semua 89 kerusi sekarang, Pakatan hanya memerlukan antara 23 hingga 30 kerusi untuk memerintah Malaysia atau berada pada kedudukan selesa.

Dengan andaian kerusi itu boleh diperolehi daripada 13 kerusi campuran milik BN hari ini dan lagi 10 hingga 17 lagi dari Sabah dan Sarawak maka Pakatan sebenarnya seolah tidak memerlukan sangat pertambahan kerusi Melayu menerusi PAS dan PKR.

PRU-13: Tahap sokongan Melayu pada Pakatan

Analisis menunjukkan bagi Semenanjung Malaysia,  63.7% undi Melayu berpihak kepada BN, 10.8% undi Cina dan 43.2% undi kaum India. Johor mencatat sokongan Melayu yang paling tinggi bagi BN dengan kadar 84.1% dan Kelantan paling rendah 46.7%.

Di Kelantan berlaku sedikit peningkatan undi bagi BN berbanding PRU-12 dan fenomena ini memberi isyarat BN mampu  menambahkan kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu.

Pakatan menerusi PAS terutamanya dan PKR hanya memenangi 36 kerusi Melayu dengan hanya 16 kerusi selamat dan 20 kerusi tipis. BN menerusi Umno berjaya menang di 83 kerusi Melayu dengan 50 kerusi selamat dan hanya 30 kerusi tipis.

Data ini menunjukkan tugas PAS sangat besar bagi memenangi pengundi Melayu. Untuk itu strategi yang betul bagi menghadapi pengundi Melayu ialah dengan tidak menimbulkan sebarang isu kontroversi melibatkan Melayu-Islam.

Sebarang kontroversi yang dibangkitkan oleh DAP terutamanya hanya akan menjarakkan lagi pengundi Melayu daripada PAS. Apatah lagi media arus perdana sangat berperanan meracuni pengundi Melayu yang rata-ratanya berada di luar bandar.

Sementelah pula jika kontroversi isu agama dan Melayu itu dibangkitkan oleh sebahagian pimpinan PAS maka ia menjadi bola tanggung untuk Umno terus mengukuhkan kedudukan mereka di kalangan Melayu. Kesannya sudah lasti dirasai oleh PAS.

Sokongan Pengundi Cina pada Pakatan

Corak pengundian pengundi Cina membayangkan mereka begitu yakin Pakatan Rakyat mampu menumbangkan BN yang terasnya adalah Melayu Umno dan membentuk kerajaan campuran kuasa pelbagai etnik dalam PRU ke-14.

Dalam PRU ke-13, BN menerusi Gerakan dan MCA gagal mendapat sebarang kerusi majoriti Cina sedang Pakatan menerusi DAP dan PKR menyapu bersih 29 kerusi dengan 25 kerusi selamat dan hanya empat kerusi dimenangi secara tipis.

Di 36 kerusi parlimen campuran pula, Pakatan memenangi 23 kerusi dengan 18 kerusi selamat dan 5 kerusi tipis manakala BN hanya mendapat 13 kerusi dengan empat sahaja kerusi selamat dan sembilan kerusi tipis.

Keadaan ini menunjukkan PR hanya perlu bekerja keras untuk memenangi hanya 13 sahaja lagi kerusi campuran yang dimenangi BN.

Kesimpulannya, dengan mengekalkan kemenangan sapu bersih 29 kerusi Cina, 23 kerusi campuran dan merebut 13 lagi kerusi campuran, Pakatan menerusi DAP dan PKR terutamanya bakal memiliki 65 kerusi Parlimen.

Dengan corak pelbagai isu dimainkan oleh Pakatan pada hari ini usaha untuk mendapatkan kemenangan maksima di kerusi Cina dan campuran adalah mudah bagi Pakatan.

Strategi menang PRU ke-14

Merujuk kepada analisis di atas kesimpulan yang boleh dibuat ialah:

  • PAS perlu melipatkan gandakan usaha memenangi pengundi Melayu.

 

  • Sokongan Cina dan kerusi campuran pelbagai etnik kepada DAP dan PKR sudah hampir sampai ke siling.
  •  

  • Tumpuan utama PR ialah pada kerusi Sabah dan Sarawak.
  •  

  • Sebarang strategi yang mengabaikan sokongan pengundi teras PAS iaitu Melayu akan meletakkan PAS sebagai parti paling lemah dalam PR.
  •  

  • Kuasa tawar menawar politik apabila PAS lemah ialah antara DAP serta PKR mewakili pengundi pelbagai etnik dan Umno mewakili pengundi Melayu manakala PAS hanyalah seumpama melukut di tepi gantang politik.
  •  

  • MCA dan Gerakan sudah hampir kehilangan gigi malah mungkin hampir lumpuh melainkan ia bersama dalam arus DAP dan PKR.

  • DATUK MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI adalah MP Kuala Nerus.
    Lihat Komen
    ADS