Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS gesa Najib minta pandangan Mahathir
Diterbitkan:  Dec 17, 2014 2:59 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

PAS menggesa agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendapatkan pandangan daripada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang khas Parlimen untuk memperincikan semula Bajet 2015.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Najib perlu mengadakan sidang khas tersebut memandangkan Bajet 2015 kini tidak lagi relevan dengan realiti ekonomi semasa.

Beliau memberi alasan mengenai pengurangan pendapatan Petronas dan penurunan nilai ringgit yang memberi kesan kepada pendapatan dan hutang negara.

Selain itu, masalah pengurangan pendapatan dari sumber eksport sawit dan getah juga katanya, turut menjadi faktor kepada masalah itu yang bakal mengundang krisis ekonomi kepada negara.

"Pada sidang tergempar ini, diharap kerajaan akan memberikan ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk hadir bersama dan memberikan pendapat.

"Pengalaman beliau menangani krisis kewangan pada tahun 1999 boleh dijadikan panduan sebelum terlambat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada sidang tergempar itu juga jelasnya, Najib perlu menjawab beberapa lagi persoalan termasuk ke mana perginya wang subsidi minyak yang ditarik, dan isu skandal syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad.

Tangguh GST

Tuan Ibrahim turut mengulangi saranannya agar Najib menangguhkan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berdasarkan situasi ekonomi yang menekan pada waktu ini.

Tindakan itu boleh menjadi penyelesaian jangka pendek dalam meringankan beban rakyat dalam menghadapi krisis ekonomi.

"Kerajaan tidak harus memperjudikan nasib negara dan rakyat pada tahun 2015 dengan pelaksanaan GST yang bakal melonjakkan inflasi pada dua tahun pertama perlaksanaannya...,”katanya.

 Tuan Ibrahim berkata demikian dengan merujuk kepada satu laporan agensi penarafan kredit, Malaysian Rating Corp Bhd (MARC).

Laporan bertajuk “2H2014 Economic Outlook: External Positives Amidst Domestic Challenges” itu menyatakan bahawa pelaksanaan GST melonjakkan inflasi di China, Singapura dan juga Australia.

GST bakal dikuatkuasakan bermula April 2015.

Lihat Komen
ADS