Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Rayuan menolak permohonan oleh seorang mualaf, Izwan Abdullah untuk mencabar satu keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberikan hak jagaan anak kepada bekas isterinya, seorang penganut Hindu, S Deepa.

Mahkamah mengenepikan rayuan itu dengan kos RM10,000.

Dalam keputusan sebulat suara itu, panel mahkamah yang diketuai Hakim Abdul Aziz Abd Rahman turut menolak rayuan Izwan ke atas arahan untuk mengambil anak tersebut, yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Seremban.

Bagaimanapun, mahkamah memberikan tempoh penangguhan selama tiga minggu untuk mengemukakan rayuan ke atas arahan berkenaan.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas Izwan merampas anak berusia enam tahun itu daripada bekas isterinya.

Hakim Abdul Aziz juga memutuskan bahawa mahkamah syariah tiada bidang kuasa untuk membatalkan sesuatu perkahwinan mengikut undang-undang sivil.

Beliau memetik kes hak jagaan anak melibatkan S Subashini sebagai duluan.

"Rayuan ditolak, Mahkamah Tinggi ada bidang kuasa untuk memberikan hak jagaan,” katanya.

Deepa dan Izwan, yang nama asalnya N Viran, berkahwin pada 2003.

Si suami tersebut memeluk Islam dan mendapat hak jagaan untuk kedua-dua anak mereka pada 19 September tersebut daripada Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban.

Anak-anak berkenaan ditukar agama kepada Islam pada April 2013 tanpa pengetahuan ibu mereka.

Pada 7 April lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memberi hak jagaan kepada Deepa tetapi tidak membuat keputusan mengenai pertukaran agama.

Dua hari kemudian, Izwan melarikan anak lelaki mereka daripada rumah Deepa di Jelebu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS