Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol berkata, Majlis Profesor Negara sepatutnya menegur pentadbiran UM dan bukannya menjadikan siswa sebagai sasaran kritikan.

Fahmi turut mempersoalkan kewibawaan MPN yang didakwanya tidak bermutu kerana didakwanya hanya menjadi “alat kepada Umno dan BN”.

“Semua orang dah sedia maklum bahawa MPN ini hanyalah alat kepada Umno dan BN. Bertambah teruk lagi sehinggakan ada orang gelar mereka ini profesor kangkung,” kata ketika dihubungi Malaysiakini .

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan kumpulan siswa berkenaan yang berkhemah selama enam hari di hadapan pintu masuk kampus UM adalah bagi menuntut keadilan dan bagi menyuarakan rasa tidak puas hati pada pentadbiran UM.

“Dakwaan Majlis Profesor Negara sangat dangkal. (Occupy UM) yang dibuat tidak menyerupai sikap atau perangai pembangkang.

“Kalau benda tak betul, kena tegur (tegur pentadbiran UM). Itu yang dibuat oleh peserta Occupy UM.

“Saranan saya, adalah lebih baik jika MPN baiki kualiti majlis tersebut daripada kerap membuat kenyataan yang langsung tidak memperlihatkan mereka ini profesor," katanya.

Tambahnya, aktivis siswa terbabit tiada pilihan kerana pentadbiran UM tidak mahu mendengar suara mereka.

“.... (UM) tidak sanggup nak mendengar, terima kritikan dan ditegur, (kritikan) untuk membetulkan negara kita. Tiada pilihan lain selain (kami) Occupy untuk suara kami didengari,” katanya.

“Perlu diingatkan bahawa sebuah institusi perlu ada satu sistem yang seimbang,” katanya lagi.

Fahmi menjawab kenyataan ketua kluster politik MPN, Prof Datuk Mustafa Ishak yang menyifatkan tindakan mahasiswa tersebut sebagai perbuatan yang “mengikut perangai pembangkang”.

Perkhemahan siswa berkenaan menarik sokongan daripada pemimpin pembangkang yang muncul sebagai tanda solidariti di tapak perkhemahan tersebut, termasuk penasihat DAP Lim Kit Siang, naib presiden PKR Rafizi Ramli dan ahli jawatankuasa pusat PAS, Khalid Samad.

Perkhemahan itu dilakukan ekoran  tindakan ke atas lapan mahasiswa UM, yang digelar 'UM8' (UM8) susulan penganjuran ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus pada 27 Oktober lalu tanpa kebenaran universiti.

Lihat Komen
ADS