Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Buat julung kalinya isu sensitif melibatkan umat Islam antaranya mengenai kalimah 'Allah', hudud serta isu hubungan kaum, diangkat menjadi subjek utama dalam nashkah teater The Islam Dilemma .

Lebih menarik lagi, teater tersebut ditulis dan diarahkan oleh Santhira Morgan - yang pada 2012 pernah mengarah teater berunsur Islam  Islamophobia - yang turut dibarisi pelakon bukan Islam.

Penganjur dan pengarah Unit Program NGO Hidayah Centre Foundation, Zun Arif Hakim Abdul Rahman berkata, pementasan itu di KL PAC, Sentul pada 6 Januari depan, antara lain mahu membuka ruang interaksi dan menggalakkan perbincangan sihat antara orang Islam dan bukan Islam.

Selain itu, katanya, teater itu juga sebagai usaha menyampaikan mesej dakwah Islam melalui lakonan secara santai.

"(Ia juga bertujuan) menolak fitnah salah faham terhadap Islam yang ditimbulkan oleh pihak tertentu sehingga Islam selalu dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif," katanya dalam satu sidang media pagi ini.

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Serious Comedy Studio menjadi penganjur bersama teater itu yang dijadual berlangsung jam 8.30 malam.

Selain pengarah, dua pelakonnya Wanni Huang ( bawah ), seorang Cina Muslim, dan S Rajaganesh turut hadir.

Hubungkan Islam, bukan Islam

Bercerita mengenai naskhahnya, Santhira berkata, beliau menulis skrip itu ekoran timbul rasa tidak senang hati orang Islam dan bukan Islam berhubung beberapa isu dianggap sensitif dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

"Orang bukan Islam kurang senang hati kerana beberapa isu, terutama sekali isu agama. Mereka tidak dibenarkan menggunakan perkataan 'Allah'.

"Mereka tidak senang hati dengan pelaksanaan hudud, penukaran agama anak-anak kepada Islam dan isu-isu.

"Mereka mempersalahkan agama Islam sebagai punca semua isu-isu ini," kata Santhira.

Manakala orang Islam pula, katanya, berasa tidak senang dengan bukan Islam kerana mempertikaikan isu tersebut sehingga memanggil mereka dengan gelaran "pendatang".

"(Dalam teater ini) saya harap orang faham tentang Islam, mula membaca tentang Islam walaupun mereka bukan Islam.

"Saya mahu teater ini jadi penghubung (antara Islam dan bukan Islam). (Ini kerana) ada orang bukan Islam kurang faham tentang Islam dan orang Islam pun ramai yang tak faham tentang agama bukan Islam," katanya.

'Jakim, silakan datang'

Santhira berkata pihaknya juga telah menjemput Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk memantau dan menyaksikan persembahan tersebut.

Teater itu berkisar sekitar dua perempuan yang cuba membawa dua pihak yang bergaduh melalui perundingan secara tenang.

"Walaupun kedua-dua wanita ini tidak dapat menyelesaikan isu-isu yang amat rumit ini, mereka berjaya membuatkan dua pihak ini memahami pemikiran dan bersimpati antara satu sama lain.

"Pada waktu yang sama, seorang budak India menyuarakan hasratnya kepada ayahnya yang anti-Islam untuk mengahwini seorang wanita Melayu.

"Ayahnya naik radang. Suatu perdebatan berlaku antara ayah dan anak. Apa yang berlaku seterusnya? Datanglah dan menonton teater ini untuk mendapatkan jawapan," katanya.

Ditanya bagaimana beliau mendapat ilham untuk menghasilkan skrip The Islam Dilemma , Santhira berkata ia digarap daripada isu semasa termasuk menghadiri forum membincangkan isu tersebut.

"(Ia dihasilkan) dalam suasana politik sekarang. Matlamat saya untuk menyatukan orang ramai, bukan mencetuskan keresahan (mereka).

"Saya tidak menyalahkan sesiapa, dan tiada niat untuk menghina Islam," katanya sambil menambah teater itu dijangka berlangsung selama satu jam setengah.

Katanya, skrip dihasilkan dalam tempoh lima bulan menggunakan dialog dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tiket dijual berharga RM125 seorang.

Teater itu turut akan dipentaskan di Pulau Pinang pada 22 Mac 2015, tambahnya.

Lihat Komen
ADS