Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PMUM ajak siswa turun sokong UM8
Diterbitkan:  Dec 18, 2014 4:47 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) menyeru para mahasiswa turut sama hadir untuk mengiringi kumpulan UM8 yang akan mengemukakan rayuan mereka esok.

Presiden PMUM Mohd Ammar Atan berkata, rayuan itu dikemukakan memandangkan kumpulan siswa terbabit masih gagal dalam tuntutan mereka supaya digugurkan pertuduhan terhadap UM8 selepas pertemuan dengan pihak pentadbiran universiti.

"Selepas kegagalan mencapai kata putus bersama naib canselor dan TNC HEP (timbalan naib canselor hal ehwal pelajar) Isnin lalu agar pertuduhan dan hukuman kepada UM8 digugurkan segera, PMUM sekali lagi tampil bersolidariti bersama UM8," katanya.

Beliau merujuk kepada pertemuan antara kumpulan UM8 dengan dengan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin dan Timbalan Naib Canselor HEP,  Datuk Dr Rohana Yusof.

Mohd Ammar menyeru para mahasiswa hadir beramai-ramai ke bangunan Canseleri UM seawal jam 10.30 pagi esok.

Selain rayuan, kumpulan UM8 itu juga merancang untuk memohon semakan kehakiman ke atas peruntukan undang-undang yang dikenakan ke atas mereka oleh UM.

Langkah itu diambil selepas bantahan “Occupy UM” yang berlangsung sejak 10 Disember lalu berakhir pada hari Selasa lalu, selepas enam hari berkhemah di luar pintu masuk kampus utamanya.

Kumpulan UM8 dikenakan tindakan tatatertib susulan penganjuran ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus itu pada 27 Oktober lalu tanpa kebenaran universiti.

Antaranya bekas Presiden PMUM Fahmi Zainol yang digantung pengajian selama dua semester dan didenda RM600.

Pengerusi Pro-Mahasiswa UM, Safwan Shamsuddin pula digantung pengajian selama satu semester dan didenda RM300.

Empat yang lain iaitu Haw Yu Hong, Khairul Anwar, Adam Fistival Wilfrid dan Syamimi Munira Mohamed, masing-masing didenda RM150 berserta amaran.

Lihat Komen
ADS