Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan profesional pula sokong 'Melayu 25'
Diterbitkan:  Dec 18, 2014 6:11 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Selepas 93 NGO dan 22 aktivis muda Muslim menyatakan sokongan kepada 25 Melayu ternama semalam, tampil pula sekumpulan individu profesional pelbagai latar menyatakan sokongan mereka.

Dalam surat terbuka, mereka yang menggelarkan diri sebagai #Kamijuga25, menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mewujudkan sebuah negara adil, bebas dan penyayang serta masyarakat yang mendokong, menggalakkan kebersamaan dan meraikan kepelbagaian dan perpaduan rakyat.

Mereka antaranya terdiri daripada peguam, Ruzita Khalid; jurutera Azwan Ismail; penulis/pelakon Kee Thuan Chye; komposer/penerbit Bibiana Peter; penolong penerbit/penyampai radio Gowri Krishnan dan mantan profesor madya Dr Patricia A Martinez.

Dalam surat itu juga, mereka menegaskan kepada kepimpinan negara bahawa kemajmukan kaum dan kepelbagaian agama merupakan kekuatan manakala pihak yang menggunakan "kata-kata angkuh, takbur dan prejudis" tidak mewakili semua rakyat Malaysia.

"Kita memilih untuk memegang kepada harapan dan kebersamaan dan menolak rasa takut dan sifat prejudis. Kita bersatu dalam hasrat menuju masa depan dan menolak konflik dan perpecahan.

"Kepada mereka yang inginkan perpecahan dan perbalahan, kita katakan bahawa kita menolak ide bahawa dominasi dan diskriminasi perlu bagi memajukan masyarakat dan negara.

"Kita mempercayai bahawa kita berkongsi takdir yang sama sebagai rakyat Malaysia," kata mereka dalam surat terbuka itu.

Mereka juga menyeru rakyat bersuara ketika berdepan dengan isu ketidakadilan, kezaliman dan penganiayaan terhadap rakyat Malaysia yang lain, tanpa mengira bangsa atau agama.

Selain itu, mereka menolak tafsiran bahawa bersifat kritikal bermaksud anti-Malaysia, anti-Islam, antimonarki dan anti-Melayu.

Mereka turut menolak bahawa kesederhanaan dan konsep seperti liberalisme dan humanisme bercanggah dengan Islam dan menggugat kedudukannya sebagai agama persekutuan.

Dalam surat itu juga, mereka menolak tanggapan bahawa Islam diserang dan menggesa supaya tiada tolak ansur terhadap penggunaan agama untuk memecahbelahkan rakyat.

"Kita mempercayai kata-kata dan mengikuti contoh Nabi Muhammad SAW serta pemimpin agama dunia dalam mengiktiraf kewujudan dan hak-hak agama lain, serta melayan penganut-penganut mereka dengan hormat, kemuliaan dan penerimaan.

"Kita memperkuatkan kepercayaan sendiri dan orang lain menerusi dialog, mendengar dan memahami, dan bukannya melalui dogma, dan ketaatan dan kepatuhan tanpa soal.

"Kita juga perlu belajar daripada agama-agama lain, budaya dan diri kita sendiri. Beginilah kita boleh maju bersama," surat itu dipetik.

Lihat Komen
ADS