Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Berhenti sebar berita palsu empangan pecah'
Diterbitkan:  Dec 18, 2014 9:55 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari menafikan dakwaan mengenai Stesen Jana Kuasa Sultan Mahmud atau lebih dikenali Empangan Kenyir pecah dan menyebabkan air di empangan tersebut melimpah ke kawasan kampung sekitar sebagaimana yang disiar di media sosial.

Penyebaran berita palsu tersebut menjadi viral selepas satu video yang berdurasi 00.36 serta gambar berhubung satu kejadian tanah runtuh di empangan tersebut disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jailani berkata gambar dan video tersebut hanyalah palsu dan tidak benar serta tiada kaitan dengan Stesen Jana Kuasa Sultan Mahmud.

"Ianya tidak benar dan saya minta orang ramai supaya berhenti menyebarkan berita palsu ini kerana ianya akan menyebabkan orang awam mula panik dan pihak yang tak bertanggungjawab menyebarkan video dan gambar tersebut perlu sedar perbuatan tersebut sudah menyusahan ramai pihak.

"Saya minta supaya video tersebut dihentikan penyebarannya dan orang ramai perlu mengikuti perkembangan berita dari media yang sahih dan ikut segala arahan dari pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan di beberapa buah kampung di daerah ini.

Jailani berkata pihaknya telah mendapat maklumat dari pihak berkaitan dan air di empangan tersebut masih di paras normal.

"Saya dah dimaklumkan yang air di empangan tersebut masih di paras normal, jadi tidak timbullah isu empangan tersebut pecah dan saya nasihatkan supaya dimasa kita menghadapi bencana banjir ini janganlah ada pihak yang mengambil kesempatan," katanya.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu turut menasihatkan penduduk yang enggan berpindah supaya mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.

"Mana-mana penduduk yang masih ada di rumah, janganlah risau untuk berpindah sebab pihak berkuasa sentiasa ada dan akan memastikan rumah penduduk dalam keadaan selamat sebab risau akan keselamatan penduduk. kalau air naik ke dalam rumah baru nak berpindah, ianya akan menyukarkan kerja pemindahan dilakukan," katanya.

Sempena tinjauan tersebut Jailani turut menyerahkan lebih 100 tilam, selimut serta makanan kepada mangsa terjejas banjir di sekitar kampung tersebut.

Sementara itu seorang warga emas Selamah Mamat, 86, dari Kampung Pengkalan Ajal berkata beliau terharu dengan kehadiran Jailani ke pusat pemindahan tersebut memandangkan kampung tersebut terputus hubungan akibat jalan utama untuk ke kampung tersebut dinaiki air.

Sehingga pukul 6 petang, seramai 2,225 mangsa dari 716 keluarga di daerah ini terpaksa dipindahkan ke 29 pusat pemindahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS