Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemimpin Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail menganggap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin "memperlekeh" suara akar umbi apabila menyifatkannya (Syed Rosli) sebagai "suara paling rendah dalam hirarki Umno".

Ini ekoran seruan Syed Rosli dalam surat terbukanya yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Syed Rosli (kanan) sebaliknya membidas ketua Pemuda Umno yang menurut beliau, sepatutnya menghormati suara "ahli bawahan yang memilihnya" dalam pemilihan parti tahun lalu.

"Saya setuju bahawa kenyataanya itu jelas memperlekeh (suara) akar umbi. Apabila musim pemilihan, Khairy cari siapa? Ahli akar umbi untuk mempertahankan jawatan.

"Beliau pergi ke bawah untuk mendapatkan undi (sokongan). Sepatutnya beliau mengucapkan terima kasih dan hormat hasrat ahli yang memberikan jawatan itu kepadanya.

"(Tetapi) ini satu penghinaan kepada ahli akar umbi yang bersuara," katanya yang pernah mencabar Khairy merebut jawatan ketua Pemuda Umno pada pemilihan lalu.

Semalam Khairy menyifatkan Syed Rosli sebagai "suara paling rendah dalam hirarki Umno" untuk mendesak Najib - dalam surat terbukanya - supaya berundur ekoran kelemahan gaya pentadbirannya.

Khairy turut dilaporkan meminta wartawan memetik kenyataan pemimpin yang berwibawa dan mempunyai kedudukan dalam Umno untuk sesuatu laporan dan pada masa yang sama kerajaan boleh memberi maklum balas, seperti tindakan pemimpin Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Syed Rosli yang juga ketua penerangan cawangan itu mendakwa, ramai pemimpin di peringkat bahagian dan akar umbi bersetuju kelemahan gaya pentadbiran Najib yang mewajarkan beliau berundur.

Bagaimanapun Syed Rosli mendakwa bahawa kebanyakan mereka "tidak berani" bersuara kerana bimbang akan kehilangan jawatan dan projek tertentu.

"Saya tidak ada apa-apa kepentingan. Saya cakap dengan ikhlas dan tidak ada kepentingan individu," katanya.

Dalam pada masa yang sama, Syed Rosli berkata beliau masih menunggu Khairy menyahut cabarannya untuk bersumpah laknat "tidak mengamalkan rasuah" dalam politik sewaktu merebut jawatan ketua Pemuda.

"Sudah (lebih) satu tahun saya cabar beliau dalam bangunan Umno untuk bersumpah tidak mengamalkan rasuah dalam politik, adakah beliau sebagai 'the highest form of creature in Umno' takut dengan cabaran saya?

"Kalau beliau menjawab (cabaran saya), saya akan hormat beliau," kata sambil menjelaskan beliau tidak menuduh Khairy mengamalkan perkara itu, sebaliknya menegaskan hanya mahu MP Rembau itu menyahut cabarannya sahaja.

Menjawab soalan bahawa kenyataan beliau itu tidak mewakili pendirian Umno Pandan seperti yang dilaporkan, Syed Rosli mengakui ia adalah kenyataan peribadi kerana tidak mahu mengaitkan pandangannya dengan organisasi yang menaunginya.

"Bagaimanapun, saya yakin ramai yang menyokong saya termasuk termasuk komen-komen dalam dikongsi dalam laporan media," katanya.

Lihat Komen
ADS