Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Soalan yang semakin ditanya oleh kian ramai peguam dan warga Malaysia ialah bagaimana seorang ektremis dengan sikap prejudis kaum dan agama seperti Tun Abdul Hamid Mohamad boleh mendaki tangga kerjaya sehingga menjadi Ketua Hakim Negara, jawatan pegawai kehakiman tertinggi di dalam negara?

Bulan lalu, Tun Hamid mengejutkan komuniti kehakiman dan juga rakyat Malaysia apabila beliau tiba-tiba memasuki kawasan bahaya dan memberi amaran kepada Konvensyen Perpaduan Kebangsaan kononnya, bahawa orang Melayu akan menjadi seperti Red Indian di tanah sendiri sekiranya Umno dan PAS tidak bekerjasama untuk mempertahankan kerajaan daripada DAP dan PKR.

Hamid tidak pernah berminat dengan perpaduan nasional dalam kerangka Malaysia, tetapi hanya dalam konsep perpaduan Melayu.

Beliau juga tidak menerangkan bagaimana selepas 57 tahun pentadbiran Umno di bawah enam perdana menteri Umno, Melayu dan Islam masih sedang terancam, atau sama ada 57 tahun pentadbiran Umno di bawah enam perdana menteri Umno telah mengalami kegagalan yang memalukan sehingga orang Melayu dan agama Islam sedang terancam hari ini.

Hamid yang dilantik ke jawatan tertinggi badan kehakiman ketika dilantik Ketua Hakim Negara antara 2007-2008, menggantikan Tun Fairuz Abdul Halim dan mendahului Tun Zaki Azmin, telah menunjukkan kecenderungan ekstremisnya ketika masih menjadi seorang hakim.

Pada bulan Julai, satu laporan The Malaysian Insider mengatakan bahawa bekas Hakim Mahkamah persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mendedahkan bahawa Hamid telah menunjukkan prejudis seorang ekstremis dalam keputusan kes sivil yang didengarinya ketika menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 90-an.

Sri Ram mengganggotai panel Mahkamah Rayuan pada tahun 1996 yang telah merujuk sebuah penghakiman Hamid dalam kes sivil yang memperlihatkan prejudisnya.

Tribunal kehakiman

Dalam kes tersebut, sebuah bank telah menyaman dua rakan niaga - seorang Melayu dan seorang lagi India - yang kedua-dua menjadi penjamin suatu pinjaman. Kedua-dua defendan bergantung kepada hujah pembelaan bahawa tandatangan mereka telah dipalsukan oleh pihak ketiga.

Sri Ram berkata bahawa Hamid, yang telah menulis penghakimannya dalam Bahasa Malaysia, menerima hujahan defendan Melayu terbabit kerana katanya sebagai seorang Muslim, dia tidak akan menipu.

Beliau bagaimanapun tidak menerima hujahan defendan rakan niaga India itu. Pihak bank dan defendan tersebut tersebut telah merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Panel Mahkamah Rayuan, dianggotai Sri Ram, Tan Sri Abdul Malek Ahmad dan Tan Sri Siti Normah Yaakob, menolak rayuan bank tersebut, mengetepikan penghakiman Hamid dan memerintahkan perbicaraan semula.

Hamid sepatutnya dihadapkan ke tribunal kehakiman ekoran prejudis perkauman dan agama serta sikap ekstremisnya dan tidak sepatutnya dilantik ke jawatan kehakiman yang lebih tinggi.

Sebaliknya, beliau mendaki tangga bidang kehakiman daripada Mahkamah Tinggi, ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, dan kemudiannya menjadi Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Negara.

Jelas wujud sesuatu yang tidak kena dalam proses pelantikan dan kenaikan pangkat hakim di Malaysia di mana seorang ekstremis dengan sikap prejudis kaum dan agama boleh menjadi Ketua Hakim Negara.


LIM KIT SIANG adalah Ketua Parlimen DAP dan MP Gelang Patah

 

Lihat Komen
ADS