Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membidas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya "duduk diam-diam" jika beliau tidak mengetahui mengenai prosedur undang-undang.

Ia ekoran laporan polis beliau berhubung isu ketelusan pengurusan kewangan bagi firman pelaburan 1MDB, yang dianggap oleh Khairy lemah dan tidak disokong dengan fakta untuk membuktikan dakwaannya adalah betul.

Khairuddin sebaliknya menempelak ketua Pemuda Umno itu dengan menyatakan beliau akan mendedahkan fakta berkaitan dakwaannya itu jika diminta berbuat demikian sewaktu memberi keterangan kepada polis.

"Kalau dia (Khairy) tak tahu apa-apa mengenai prosedur undang-undang, lebih baik duduk diam-diam.

"Tidak ada orang yang mendedahkan fakta secara terbuka. Fakta didedahkan apabila memberi kenyataan kepada pihak polis. Saya tidak akan dedahkan kepada umum. Saya akan menyerahkannya kepada pihak polis.

"Kalau dia buat laporan polis, adakah dia nak dedah fakta kepada umum? Mana boleh. Itu rahsia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Beliau mengulas maklum balas Khairy semalam yang menyatakan bahawa kenyataan Khairuddin berhubung isu syarikat pelaburan itu lemah dan tidak disokong dengan fakta untuk membuktikan dakwaannya adalah betul.

Temui Ku Nan 3 kali

Dalam tempoh seminggu selepas membuat laporan polis, Khairuddin berkata beliau telah menemui Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebanyak tiga kali, walaupun sebelum ini dilapor dengan nada tegas mengarahkan beliau menarik balik laporan polis itu.

Beliau turut menjelaskan salah faham umum mengenai teguran Tengku Adnan "yang agak keras" terhadapnya selepas beliau membuat laporan polis itu, dengan menyifatkan teguran "abang sulung kepada adik bongsu".

"Selepas saya membuat laporan polis, tiga kali saya menemuinya. Saya menghormati Tengku Adnan. Beliau ada guru politik saya dan hubungan saya dengan beliau akrab. Kami berhubung setiap minggu," katanya.

Khairuddin berkata pertemuan itu "ada berkaitan dengan 1MDB" tetapi beliau enggan mendedahkan butiran pertemuan dengan lebih terperinci sebaliknya hanya akan menjelaskannya dalam satu sidang media kelak.

Diminta mengulas kenyataan ketua bahagiannya bahawa tindakan beliau itu tidak wakili pendirian bahagian, Khairuddin mengakuinya dan laporan itu dibuat atas kapasiti peribadinya serta tidak melibatkan kepimpinan Umno bahagian, dan tidak mewakili Umno Pulau Pinang.

"Saya sayang kepimpinan Umno Batu Kawan. Apa yang disebut oleh ketua bahagian adalah tepat. Saya buat atas kapasiti peribadi dan tidak ada kena mengena dengan Umno Batu Kawan dan Umno Penang serta Umno Pusat," katanya.

Menurutnya lagi, tindakan beliau membuat laporan polis itu sebagai memintas pembangkang membesar-besarkan isu ini sekaligus menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat isu ini.

Lihat Komen
ADS