Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nenek, cucu tunggu 5 jam dalam air
Diterbitkan:  Dec 19, 2014 8:26 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Seorang nenek dan cucunya berhadapan detik mencemaskan apabila rumah mereka berdekatan pekan Rantau Panjang dinaiki air banjir secara mendadak sehingga paras dada, dan terpaksa berdiri lima jam menunggu untuk dipindahkan.

Menceritakan kejadian pada Rabu lepas itu, Asiah Deraman, 53, berkata beliau juga terpaksa mendukung cucunya Mohd Arfan Tuan Nuh, 8, sementara menunggu ketibaan anggota bomba dan penyelamat.

"Masa itu pukul 12 malam, saya sedang mengemas barang-barang dalam rumah. Tiba-tiba air naik hingga ke paras dada saya dan saya hanya mampu berserah kerana tidak boleh keluar dari rumah.

"Saya kemudiannya meminta jiran supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa yang kami dua beranak masih berada di dalam rumah. Alhamdulillah anggota bomba datang pukul 6 pagi," katanya kepada Bernama di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Rantau Panjang di sini, hari ini.

Mohd Arfan tinggal bersama neneknya kerana ibu bapanya berkerja di luar Kelantan.

Asiah berkata ketika anggota bomba tiba di rumahnya, beliau sudah tidak mampu bergerak kerana terlalu lama berada di dalam air.

"Saya dah tak boleh bergerak dan mereka (bomba) yang angkat dan bawa saya ke pusat pemindahan. Cucu saya sampai demam sebab berada dalam air terlalu lama.

"Ini pengalaman pertama dalam hidup saya, sebelum ini air naik tidak tinggi sampai macam tu sekali. Banjir kali ini memang teruk, air juga sangat deras," katanya.

    

Asiah berkata kelengkapan rumahnya seperti peti sejuk, televisyen dan kusyen rosak kerana tidak dapat diselamatkan kerana air naik secara mendadak.

"Memang tak ada benda yang boleh diselamatkan, air naik cepat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS