Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DBP: 'Destinasi Impian' tak pupuk homoseks
Diterbitkan:  Dec 20, 2014 12:23 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Dewan Bahasa dan Pustaka memberi jaminan bahawa teks sastera 'Destinasi Impian' yang menampilkan watak seorang lelaki lembut untuk kegunaan pelajar tahun depan tidak memupuk hubungan homoseks.

Menurut ketua pengarahnya, Datuk Awang Sariyan, watak berkenaan telah pun diteliti dan didapati menerapkan nilai murni dan pengajaran di akhir cerita, laporan Mstar Online .

Suntingan tersebut dilaksanakan bagi memastikan tiada unsur sensitif timbul dalam teks Komponen Sastera (Komsas) bahasa Melayu itu sebelum digunakan untuk pelajar bermula tahun depan, katanya.

"Watak itu juga setelah dinilai, tak akan menjadi isu. Watak Firdaus tidak mengajar tentang hubungan songsang atau perkara-perkara tidak baik, sebaliknya ia lebih menonjolkan tentang usaha untuk membuktikan kemampuannya apabila dicabar.

"Destinasi Impian telah menjalani proses penyuntingan dari segi bahasa dan ayat-ayatnya mengikut kehendak kementerian pendidikan selepas ia diputuskan menjadi salah sebuah buku teks Komsas.

"Dalam masa yang sama kita juga memastikan penyuntingan yang dibuat tidak lari daripada karya asal penulis," katanya lagi seperti dipetik dalam portal naungan akhbar The Star itu.

Katanya, DBP telah meneliti teks tersebut sebelum ia dibawa ke Bahagian Pembangunan Kurikulum kementerian untuk dinilai sebagai buku teks.

Menurut Mstar Online , novel karya Mohd Ismail Sarbini itu mengisahkan watak Firdaus seorang pelajar lelaki berperwatakan lembut yang sering diperkecilkan rakan serta ahli keluarganya sendiri.

Laporan itu menyebut, novel tersebut menerapkan nilai murni dan pengajaran di akhir cerita, tetapi watak Firdaus yang lembut didakwa membimbangkan sesetengah ibu bapa kerana mengetengahkan isu yang kurang sesuai untuk pelajar berusia 13 tahun.

Novel berkenaan dilaporkan terpilih sebagai naskhah teks Komsas untuk pelajar Tingkatan Satu tahun depan di sekolah-sekolah seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Selain Destinasi Impian, novel terbitan DBP lain yang dipilih untuk pelajar Tingkatan Satu ialah 'Sejambak Bakti', 'Pelari Muda' dan 'Formula Termodinamik'.

Lihat Komen
ADS