Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Majlis akhbar jadi alternatif pada mahkamah'
Diterbitkan:  Dec 20, 2014 1:11 PM
Dikemaskini: Dec 21, 2014 8:45 AM

Penubuhan majlis akhbar berjaya melahirkan media yang lebih bebas di Indonesia, kata seorang ahli akademik dalam bidang kewartawanan di Sekolah Media dan Hal Ehwal Awam, George Washington University.

Prof Madya Dr Janet Steele berkata berdasarkan pengalaman Indonesia, penubuhan majlis akhbar pada 1960-an** menunjukkan kepada rakyat Indonesia bahawa wartawan mampu mengawal selia diri masing-masing bagi memelihara kebebasan akhbar.

"Majlis itu merupakan alternatif kepada sistem perundangan untuk mengawal selia akhbar. Sebagai contoh, sekiranya anda menulis sesuatu yang tidak disukai orang lain, perkara itu boleh kepada perhatian majlis berkenaan untuk dibincang, tanpa melibatkan mahkamah," katanya.

Masalah yang timbul itu akan dibincang dalam forum awam, keputusannya diumumkan kepada orang ramai dan pihak yang melakukan kesalahan diminta memohon maaf secara terbuka," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Kebebasan Akhbar: Cabaran bagi Media - Iktibar Daripada Indonesia' di Wisma Bernama.

Steele, yang fasih berbahasa Indonesia, berkata kewujudan Majlis Akhbar menjamin campur tangan kerajaan akan berkurangan dan dengan itu akan wujud lebih banyak kebebasan untuk akhbar.

Steele memberitahu peserta acara anjuran Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Malaysia itu bahawa Majlis Akhbar juga akan menjadi platform bagi wartawan untuk menjelaskan kepada orang ramai tentang amalan kewartawanan yang baik dan tidak baik.

Seorang tokoh yang tidak asing bagi pengamal media di Malaysia dan Indonesia, Steele pernah berkhidmat sebagai profesor Fullbright bagi program pengajian Amerika di Universitas Indonesia dari 1997 hingga 1998.

Beliau adalah penulis ruangan mingguan 'E-Mail from America' untuk akhbar harian 'Surya' di Surabaya.  

Turut hadir pada majlis itu Presiden NPC dan Timbalan Ketua Pengarang  (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mokhtar Hussain.

- Bernama


**Steele kemudian menjelaskan kepada Malaysiakini , bahawa terdapat sedikit kesilapan fakta dalam laporan itu. Menurutnya, majlis akhbar ditubuhkan pada 1999. - Editor

Lihat Komen
ADS