Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rumah penduduk diancam hakisan sungai
Diterbitkan:  Dec 20, 2014 4:27 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Sebanyak 120 penduduk yang mendiami 20 rumah di pinggir sungai Kampung Tenaik, Bukit Abal, bimbang dengan keadaan hakisan tebing sungai berkenaan akibat banjir yang boleh merosakkan rumah mereka.

Seorang penduduk, Seman Yaakub, 70, berkata walaupun paras air sungai semakin surut, beliau dan keluarganya tidak dapat tidur nyenyak terutama ketika hujan pada waktu malam kerana bahagian dapur rumah terletak berhampiran sungai tersebut.

"Jika banjir lagi, pak cik bimbang bahagian dapur rumah roboh dan dihanyutkan arus sungai," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

Seman tinggal di rumah berkenaan bersama isteri Habidah Mat, 65, dan tiga anak sejak 40 tahun lepas.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak tiga meter tanah di belakang rumahnya terhakis menjadi sebahagian daripada sungai berkenaan.

"Banjir yang berlaku tiga hari lepas turut menumbangkan banyak pokok di tebing sungai itu," katanya.

Arif Abdullah, 52, pula berkata sebahagian dapur rumahnya yang terletak kira-kira 0.5 meter dari sungai itu mengalami keretakan pada dinding dan lantai.

"Sebelum ini, saya membeli pasir sebanyak dua lori dengan harga RM240 untuk diisi ke dalam guni bagi membina benteng di tebing sungai sebagai usaha menghalang limpahan air tetapi kesemuanya tidak berhasil selepas guni berkenaan dihanyutkan arus deras," katanya.

Arif berkata sejak beberapa tahun lepas, penduduk telah menghantar surat rayuan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan supaya mengambil tindakan sewajarnya untuk mencegah hakisan sungai berkenaan tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan.

Sementara itu, ADUN Selising Zulkifli Ali ketika ditemui di tempat kejadian berkata, beliau akan memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi mengatasi masalah penduduk berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS