Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak terjejas banjir, tapi daftar sebagai mangsa
Diterbitkan:  Dec 20, 2014 4:37 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Segelintir penduduk di kawasan Parlimen Paya Besar dikesan melakukan penipuan dengan sengaja mendaftar di pusat pemindahan banjir semata-mata untuk mendapatkan bantuan, kata Ketua Umno Bahagian Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana mereka sebenarnya tidak berhak mendapat bantuan tersebut.

"Saya kesal dan kecewa selepas dimaklumkan ada penduduk yang cuba mengambil kesempatan dengan mendaftar sebagai mangsa banjir di pusat pemindahan sedangkan kawasan serta rumah mereka langsung tidak dinaiki air.

"Mereka harus bersikap jujur serta amanah dan jangan main-main dengan perkara seperti ini. Kasihan kepada mangsa banjir yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, yang menempatkan 893 mangsa daripada 238 keluarga.

Abdul Manan yang juga anggota Parlimen Paya Besar turut menafikan tohmahan pembangkang yang mendakwa Umno bahagian berkenaan menghalang mereka masuk dan memberi bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan.

"Tuduhan itu tidak berasas, mereka cuma diminta memberi bantuan melalui saluran yang betul dengan menyerahkan sumbangan berupa makanan dan sebagainya kepada urus setia dan jawatankuasa bertugas sebelum diagihkan kepada mangsa banjir.

"Sumbangan itu perlu diagihkan sama rata tanpa memilih siapa yang sokong siapa. Itu lebih adil," katanya.

Sementara itu, Abdul Manan berkata kesemua penduduk yang ditempatkan di Kuantan, dijangka dibenarkan pulang petang ini memandangkan air di kawasan kediaman mangsa yang terlibat telah surut.

Bagaimanapun, beliau berkata pusat pemindahan itu akan sentiasa dibuka jika banjir kembali melanda kawasan berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS