Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pekebun kecil di Sabah layak terima insentif
Diterbitkan:  Dec 20, 2014 5:14 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Seramai 27,000 pekebun kecil di Sabah layak menerima Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang akan dilaksanakan pada Januari tahun depan.

Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata daripada jumlah itu, kira-kira 10,000 pekebun getah aktif manakala selebihnya melibatkan pekebun kecil dan pemilik kebun yang belum matang.

"Saya gembira dengan proses persediaan di Sabah. Sudah ada bilik operasi dan nama-nama pekebun-pekebun kecil dan hari ini, kita memutuskan bahawa mereka mengeluarkan kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) di Kota Kinabalu.

Kini, terdapat 7,000 kad PAT-G yang telah dikeluarkan dan proses sedang dilaksanakan dan saya percaya lebih banyak kad akan dikeluarkan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai

pelaksanaan IPG peringkat negeri Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Uggah berkata program pendaftaran dan pengeluaran kad kepada pekebun kecil kini mendapat sambutan menggalakkan berbanding pelaksanaan sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan menguruskan pendaftaran dan pembayaran kepada pihak penoreh dan pekebun kecil yang layak di negeri ini.

Uggah percaya Sabah semestinya bersedia untuk berhadapan dengan situasi cabaran masa depan termasuk kejatuhan harga komoditi dan meneruskan aktiviti industri getah.

Terdahulu, beliau berkata menerusi IPG, peruntukan permulaan berjumlah RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2015, akan membantu pekebun kecil sekiranya harga getah SMR20 jatuh kepada RM4.60 sekilogram.

"Untuk menuntut, mereka perlu ada dua dokumen iaitu resit jualan dan kad PAT-G, sebagai bukti mereka adalah pekebun kecil yang layak menerima bantuan IPG," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS