Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita Vietnam bogel ditemui mati di hotel
Diterbitkan:  Dec 22, 2014 8:56 AM
Dikemaskini: 1:07 AM

Seorang wanita warga Vietnam ditemui mati dalam keadaan bogel dengan tangan dan kakinya diikat menggunakan tuala di dalam bilik air sebuah hotel di Kompleks Pasar Borong, Jalan Ipoh Bandar Utara, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata polis menemui mayat wanita itu kira-kira jam 6.50 petang tadi dalam keadaan meniarap dan terdapat kesan lebam di lehernya akibat dijerut.

   

Beliau berkata hasil siasatan awal, polis mendapati seorang lelaki mendaftar masuk ke bilik itu pada jam 9.15 malam, dan wanita Vietnam itu ke bilik berkenaan empat jam kemudian.

   

"Mangsa dipercayai bekerja di sebuah pusat karaoke. Kami tidak menemui sebarang dokumen diri pada mangsa. Polis sedang mengesan lelaki terbabit," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

   

Munusamy berkata mayat wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

   

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

   

Sementara itu di Dungun. seorang pemuda cedera parah selepas ditikam seorang lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di Kampung Baru Kuala Abang, petang kelmarin.

   

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu menyebabkan mangsa Mohd Zukeri Yaacob, 32, cedera di bahagian perut dan belakang badan selepas penyerang berkenaan menghayunkan lima tikaman yang gagal ditepis mangsa.

   

Menurut abangnya Rahim Yaacob, 46, ketika kejadian mereka berdua sedang mencari kambing peliharaannya yang hilang tidak jauh dari kawasan rumah mereka.

"Ketika itu salah seekor kambing saya telah masuk ke kawasan halaman rumah suspek dan adik saya terus menangkap kembali kambing tersebut untuk dibawa balik.

   

"Namun masa perjalanan pulang, tidak semena-mena suspek datang menyerang bertalu-talu adik saya dari arah belakang sebelum melarikan diri," katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa yang cedera kerana kehilangan darah yang banyak segera dikejarkan abangnya ke Hospital Dungun untuk rawatan dan kini dilaporkan stabil.

   

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub yangmengesahkan kejadian itu berkata hasil maklumat awam pihaknya berjaya memberkas suspek yang berusia 29 tahun, kira-kira pukul 6.40 petang, hari yang sama di sekitar daerah itu.

   

"Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian ini dan kes disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS