Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadikan projek 'Big Data' sebagai keutamaannya dalam usaha memelihara keselamatan dan kepentingan negara dalam industri kelapa sawit.

Naib Canselornya, Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata untuk tujuan itu UPM akan bekerjasama dengan Kyushu Institute of Technology (Kyutech) yang mempunyai pasukan Big Data bagi membangunkan projek Big Data UPM di Malaysia.

Katanya Big Data atau data induk ialah himpunan maklumat daripada pelbagai sumber termasuk negara, pemain industri, Twitter dan pelbagai aplikasi media sosial berkaitan komoditi atau topik berupaya menjadi 'senjata' untuk mengganggu-gugat ekonomi atau keselamatan sesebuah negara jika maklumat tersebut disimpan oleh negara ketiga.

Menurut Dr Mohd Fauzi Malaysia belum mempunyai rangkaian Big Data yang sistematik dan lengkap. Yang ada hanya dikumpul bersendirian oleh agensi-agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan UPM.

"Dalam konteks ini UPM mahu terlibat secara langsung dengan projek keselamatan makanan negara selain menjuarai projek Big Data di Malaysia dan sebagai 'front runner' untuk mendahului negara-negara lain di Asia Tenggara," katanya kepada pemberita di Fukuoka, Jepun, hari ini.

Beliau mengetuai 110 orang staf dan pelajar UPM menyertai Simposium Kejuruteraan dan Sains Gunaan (SEAS) 2014 di Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Kampus Tobata di Fukuoka selama dua hari, berakhir semalam. SEAS sebahagian program Sakura Science Plan (SSP) tajaan kerajaan Jepun.

Dr Mohd Fauzi turut mengambil kesempatan itu bertemu pihak industri di Wilayah Fukuoka yang berminat bekerjasama membangunkan projek Big Data dengan UPM.

Menurut Naib Canselor itu, data-data yang dihimpun dalam Big Data merangkumi pelbagai aspek seperti pengeluaran makananan, pasaran (harga), sentimen, percakapan positif dan negatif, penyakit serta permintaan dan penawaran.

"Data-data ini boleh digunakan bagi membuat analisis, strategi, persediaan untuk dilaksanakan bagi menghadapinya, peluang pekerjaan dan sebagainya manakala di Jepun ia digunakan bagi membuat kajian pasaran dan ramalan perniagaan.

"Sebagai negara pengeluar kelapa sawit kita perlu memiliki maklumat-maklumat ini. Membiarkan negara lain memilikinya akan menyebabkan ia boleh diekploitasi dan membahayakan keselamatan, kepentingan dan ekonomi negara," katanya.

Dr Mohd Fauzi berkata beberapa pengusaha industri yang berpusat di Kyushu menawarkan kepada UPM menghantar 40 pelajarnya mengikuti latihan industri selama empat bulan dengan ditanggung sepenuhnya oleh mereka.

"UPM akan gunakan peluang ini sebaik mungkin kerana syarikat-syarikat ini mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan idea. Kyutech pula mempunyai nama di kalangan pengusaha industri di Jepun. Kita pula ada sumber dan tenaga manusia," kata Dr Mohd Fauzi.

Beliau berkata UPM akan berusaha menarik agensi-agensi kerajaan di sekitar Serdang untuk menyertai projek Big Data UPM dan ini termasuk menarik pemain industri seperti Sime Darby.

- Bernama

Lihat Komen
ADS