Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hamley’s hukum pekerja minta buka tudung
Diterbitkan:  Dec 22, 2014 1:37 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Hamley’s Malaysia menjelaskan pihaknya telah mengambil tindakan disiplin terhadap seorang pekerjanya yang meminta anak pengarah terkenal Datuk Rosyam Nor membuka tudung untuk berkhidmat dengan mereka.

Menurut kedai permainan terkemuka itu, pekerja itu bukan sahaja tidak mempunyai kuasa menemu duga atau mengambil pekerja, malah memberi maklumat tidak betul kepada anak Rosyam.

“Tindakan disiplin telah pun diambil terhadap pekerja ini,” menurut kenyataannya di Facebook semalam.

Hamley’s juga menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang dasar yang tidak membenarkan pekerja wanita memakai tudung.

“Kami memang mengalu-alukan semua yang ingin bekerja untuk datang membuat permohonan kerja, tidak kira bangsa atau agama,” katanya.

Hamley’s juga membuat permohonan maaf terbuka kepada Rosyam, anaknya dan seluruh umat Islam ekoran insiden itu.

“Pihak pengurusan serta semua pekerja di kedai kami dengan ikhlas ingin memohon maaf di atas isu ini.

“Kami berasa sangat kesal dengan insiden ini dan juga dengan apa yang telah tercetus disebabkannya.

“Diharap Datuk Rosyam serta anak gadisnya dan juga kaum Muslimin dan Muslimah yang telah terguris dengan kejadian ini sudi menerima permohonan maaf kami ini,” tulisnya.

Lihat Komen
ADS