Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak akan memberi kesan terhadap pelancongan di negara ini.

Ini kerana, katanya, seperti di negara Eropah, setiap barang yang dibelanjakan oleh pelancong asing ketika berada di Malaysia akan dikembalikan wang cukai tersebut.

"Tentu tidak (memberi kesan pada pelancongan). Kerana kita bayar balik. Kalau pelancong datang, masa mereka nak balik perlu isi borang GST dan kita bagi balik duit (cukai).

"Seperti di Eropah, kita isi borang dan kita dapat balik duit. GST tidak akan memberi kesan pada pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pembukaan landasan kapal terbang untuk ke Pulau Tioman di Subang Jaya hari ini.

'Bukan balas balik Singapura'

Sementara itu, ketika ditanya adakah caj RM20 yang dikenakan terhadap kereta asing yang memasuki Johor akan menyebabkan industri pelancongan terjejas, Nazri berkata perkara itu tidak akan berlaku.

Malah, Nazri berkata caj yang dikenakan itu berpatutan.

Bagaimanapun, katanya, caj RM20 yang dikenakan bukan tujuan untuk "membalas" balik apa yang telah dibuat oleh kerajaan Singapura.

Sebaliknya, Nazri berkata, tindakan kerajaan Singapura mengenakan caj tinggi kepada kereta Malaysia yang ingin memasukki negara itu amat dialu-alukan.

"Saya rasa bagi rakyat Singapura RM20 itu tak ada apa. Bayaran itu bukan nak balas balik sebab mereka kenakan pada kereta kita. Kita faham sebab mereka nak kawal trafik di sana.

"Tetapi secara peribadi, sebagai menteri, saya rasa tindakan Singapura yang kenakan caj kepada kereta Malaysia itu satu tindakan yang bagus. Lagi tinggi (caj) lagi bagus.

"Sebab rakyat Malaysia akan berbelanja di negara ini dan tak perlu pergi ke sana lagi. Jadi, terima kasihlah kerajaan Singapura," kata Nazri lagi.

Sebelum ini, berikutan tindakan Singapura yang menaikkan bayaran permit dari Malaysia ke negara tersebut, kerajaan kini menimbangkan langkah sama untuk mengenakan bayaran kepada kenderaan dari negara tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, satu kajian yang teliti sedang dijalankan untuk mengenakan caj sebanyak RM20 dan menimbang beberapa aspek penting sebelum dapat melaksanakannya.

Lihat Komen
ADS