Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Interpol, jangan ikut telunjuk rejim As-Sisi'
Diterbitkan:  Dec 22, 2014 4:12 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

NGO Abim dan Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) PKR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Polis Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Ketua Persatuan Ulama Sedunia Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Ini kerana, ilmuan Islam itu dikaitkan kegiatan Ikhwanul Muslimin sehingga dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.

Mereka mengecam tindakan Interpol yang didakwa "tidak seharusnya mengikut permintaan kerajaan Mesir" pimpinan rejim As-Sisi menahan sarjana Islam itu yang dituduh antaranya menghasut, membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara.

Presiden Abim Amidi Abd Manan menganggap tuduhan itu adalah "fitnah semata-mata" manakala Pengerusi BiPPA Dr Muhammad Nur Manuty pula menyifatkan ia bercanggah prinsip demokrasi dan menyinggung perasaan umat Islam kerana tokoh itu memberi banyak sumbangan besar kepada dunia Islam.

"Dunia Islam juga seharusnya menolak waran ini. Berdasarkan kenyataan di atas, tiada sebarang bukti untuk kaitkan Qaradawi dengan sebarang aktiviti keganasan.

"Kerajaan Mesir yang mengeluarkan waran ini jelas bersikap 'double standard' dengan memejamkan mata terhadap kezaliman Hosni Mubarak dengan melepaskan beliau dari segala tuduhan, sedangkan kita sedia maklum ramai penggerak Ikhwan Muslimin dinafikan hak demokrasi mereka, dipenjara, diseksa tanpa mendapat perbicaraan yang sewajarnya," kata Amidi.

Kedua-dua pemimpin itu juga menegaskan bahawa Al-Qaradawi - yang pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 2009 - sangat iltizam dengan pemikiran wasatiyyah, memupuk hubungan baik antara penganut Islam dan bukan Islam dan membela demokrasi serta hak asasi manusia, secara aman tanpa pertumpahan darah.

"Atas dasar ini, masyarakat antarabangsa yang mendokong demokrasi seharusnya bangkit dan memprotes sebarang bentuk cubaan untuk merosakkan semangat demokrasi yang semestinya selari dengan Islam," kata Amidi lagi.

Sehubungan itu, Amidi dan Dr Muhammad Nur mendesak kerajaan Malaysia mengambil pendirian tegas dengan menyokong Dr Yusuf dan mengambil inisiatif tegas bersama beberapa buah kerajaan mendesak Sisi menarik balik tindakan menyeneraikan al-Qaradawi sebagai seorang pengganas dan menyerahkan kepada Interpol.

"Selanjutnya, OIC sebagai sebuah badan penting di dunia Islam seharusnya berperanan bersama lain-lain NGO di seluruh dunia, mencari jalan terbaik bagi menyelamatkan al Qaradawi dari penganiayaan dan penghinaan ke atas dirinya," kata  Dr Muhammad Nur.

Lihat Komen
ADS