Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS meminta supaya kerajaan negeri Kelantan membuat taklimat berhubung pindaan enakmen syariah yang akan dibuat di negeri itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun PAS Pusat sendiri tidak mengetahui apakah isi kandungan pindaan yang akan dibuat, namun beliau berharap agar satu taklimat berhubung perkara berkaitan dibuat.

"Saya harapkan kerajaan Kelantan akan aturkan pertemuan untuk memberi taklimat kepada semua pihak berhubung pindaan ini. Kerana isunya ialah, pindaan pada satu enakmen yang sedia ada.

"Pindaan itu pada enakmen yang sedia ada bukan buat enakmen yang baru. Enakmen ini sudah berusia kira-kira 20 tahun.

"Jadi saya harap kerajaan Kelantan akan beri taklimat pada mana-mana yang berminat dan saya tawarkan, pada semua yang berminat boleh juga hadir pada sidang DUN itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.

Selain itu, ditanya sama ada kerajaan Kelantan pernah mengadakan pertemuan dengan pihak Pakatan Rakyat dan PAS Pusat bagi memberi taklimat berhubung pindaan itu, Mahfuz berkata tidak pernah.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya kerajaan negeri Kelantan ingin mengadakan sebarang pertemuan berkaitan pindaan itu, PAS tidak mempunyai sebarang masalah.

"Setakat ini tak ada sebarang pertemuan lagi. Tapi PAS tak ada masalah," katanya lagi.

'PAS, DAP ibarat suami isteri'

Sementara itu, ketika ditanya sama ada langkah untuk melaksanakan hudud di Kelantan akan memecah-belahkan PAS dan DAP dalam Pakatan, Mahfuz berkata perkara itu tidak mungkin berlaku.

Ini kerana, katanya, kedua-dua parti itu telah "bersetuju untuk tidak bersetuju" dalam isu tersebut sebelum ini.

Malah, ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mengibaratkan hubungan antara PAS dan DAP seperti suami isteri apabila masing-masing mempunyai percanggahan pendapat.

"Saya tak anggap isu hudud akan pecah belahkan Pakatan. Kerana kita dah capai satu persetujuan sebelum ini bersetuju untuk tidak bersetuju iaitu PAS bersetuju yang DAP tak bersetuju dalam hal ini. PAS menghormati perkara itu.

"Jadi tidak akan menyebabkan perpecahan. Kita ini macam suami isteri. Suami suka gulai tapi isteri suka memasak masak lemak cili api. Walaupun bercanggah tapi mereka masih duduk serumah," katanya lagi.

Ditanya sama ada PAS bersedia untuk memberi isi kandungan pindaan undang-undang yang diusahakan Kelantan, Mahfuz menjelaskan ia terserah kepada budi bicara kerajaan Kelantan.

"Secara dalaman (untuk beri) mungkin boleh tetapi secara prinsipnya ia embargo. Terpulang pada kerajaan negeri," ujarnya.

Lihat Komen
ADS