Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiga beranak maut manakala seorang lagi anggota keluarga itu cedera parah dalam satu kejadian letupan yang berlaku di sebuah rumah di Taman Ria Mesra di Gurun petang ini.

Mereka yang maut dalam kejadian pada jam 4.30 petang  itu adalah seorang anggota tentera, Ayub Hashim, 37, anak perempuannya Nur Idayu Shahira, 8, dan anak jiran mangsa Mohd Akif Lokman Mohd Shahrizal, 5.

    

Sementara itu, isteri Ayub yang dikenali sebagai Sharifah Haslinda, 37, dan anak lelaki mereka, Mohd Idham Shahmi, 5, dan ibu Akif Lokman, Zuraidah Mat Rotbi, 30, cedera parah akibat letupan berkenaan dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

    

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Ahmad Shahabuddin berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan itu berpunca daripada sejenis bahan letupan.

    

"Ini berdasarkan pengamatan impak letupan di lokasi kejadian oleh pihak bomba ketika melakukan kerja pemadaman sebaik tiba di lokasi kejadian.

    

"Ketika menjalankan pemeriksaan, kita mengenal pasti impak yang cukup kuat terutama kesan-kesan lubang pada dinding rumah terbabit yang diyakini berpunca daripada bahan letupan dan bukannya letupan tong gas memasak seperti yang didakwa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    

Difahamkan, impak letupan yang kuat itu menyebabkan Ayub tercampak sejauh kira-kira 17 meter dari tempat kejadian.

    

Ahmad berkata mereka turut meminta bantuan daripada Skuad Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memeriksa lokasi kejadian kerana khuatir masih terdapat bahan yang boleh meletup di dalam rumah terbabit.

    

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan itu pada jam 4.57 petang, dan sebanyak tiga jentera serta 14 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Yan dan Sungai Petani dikerah ke tempat kejadian, dengan jentera pertama tiba pada 5.13 petang.

    

Mayat mangsa juga dibawa ke HSAH.

    

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya mengesahkan kejadian itu dan anggota tentera itu dipercayai menyimpan sejenis bom tangan di rumahnya.

    

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS