Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Dakwaan MP Chong tak lengkap
Diterbitkan:  Dec 25, 2014 9:40 AM
Dikemaskini: 1:49 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata badan itu tidak dapat bertindak ke atas dakwaan yang ditimbulkan oleh MP Bandar Kuching, Chong Chieng Jen berhubung penganugerahan projek pembinaan jalan Kapit bernilai RM119 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, maklumat yang dikemukakan oleh Chong tidak memadai untuk disiasat badan tersebut.

“Berdasarkan kepada kenyataan akhbar YB Chong Chieng Jen, SPRM membuat kesimpulan beliau tidak mempunyai apa-apa butiran penting seperti yang dikehendaki oleh SPRM.

“Oleh yang demikian SPRM tidak akan bertindak berdasarkan kepada maklumat yang tidak lengkap ini. Sekiranya beliau ada apa-apa maklumat lanjut, beliau boleh menghubungi pengarah bahagian siasatan SPRM,” kata Mohd Shukri.

Dalam kenyataannya, Mohd Shukri turut menangkis dakwaan Chong bahawa SPRM mahu memerangkap MP tersebut dalam isu ini.

“Ini kerana setiap pengadu yang memberi maklumat secara terus kepada SPRM tanpa mendedahkan kepada umum terlebih dahulu akan diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

Mohd Shukri dalam kenyataan pada Ahad lalu menggesa Chong memberikan maklumat lanjut, termasuk maklumat penerima, dan pemberi rasuah itu.

Chong bagaimanapun bertegas bahawa beliau telah mengemukakan butiran tersebut, termasuk lebih bayaran sekurang-kurangnya RM20 juta yang didakwa akan ditanggung kerajaan dalam projek tersebut.

Chong juga berkata beliau bagaimanapun tidak dapat menyediakan transaksi kewangan pihak yang terlibat kerana menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Lihat Komen
ADS