Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri akan memutuskan esok sama ada sidang khas untuk meminda rang undang-undang hudud akan tetap dilangsungkan pada Isnin depan.

Beliau mengulas mengenai situasi banjir yang semakin buruk di Kelantan, sehingga melibatkan Kawasan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Kota Darul Naim, yang menempatkan bangunan DUN.

"Setakat ini masih 'on' seperti dijadualkan namun kita masih pantau perkembangan semasa banjir dan Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) akan memutuskan perkara itu esok," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Menurutnya lagi, paras air di sekitar kawasan kompleks tersebut pada tengahari ini tidak menghalang persidangan dijalankan.

Keadaan cuaca juga baik dan panas pada hari ini katanya yang menambah paras air itu hanya setakat “paras lutut orang dewasa”.

"Mengikut pengalaman, cuaca panas sebegini biasanya akan meredakan keadaan banjir dan paras air akan surut," katanya.

Terdahulu, sumber SUK menyebut, operasi pusat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan kini telah dipindahkan ke sebuah Dewan di Masjid Telipot - kira-kira 3km dari situ.

"Semua kenderaan rasmi kerajaan negeri juga sudah dialihkan ke tempat lebih selamat sejak petang semalam.

"SUK tidak lagi beroperasi, sudah pindah ke Masjid Telipot," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau turut memaklumkan, kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10, - satu setengah kilometer dari pejabat SUK- juga dinaiki air sedalam setengah kaki petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Speaker, Abdul Latif Abdul Rahman ketika dihubungi berkata setakat ini beliau tidak dimaklum sebarang perubahan sidang tersebut.

Katanya, sebarang perubahan mungkin diumumkan sendiri oleh Ahmad Yaakob dalam masa terdekat.

"Saya tak boleh jawab sebab saya tidak ada maklumat. Saya sendiri terkepung banjir di Kula Kerai. Rumah saya dinaiki air dan terpaksa berpindah.

"Jika ada perubahan, mungkin menteri besar sendiri akan umum," katanya.

Laporan Bernama menyebut, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kelantan naik mendadak petang ini kepada 45,467 orang selepas berkurang kepada 32,139 pagi ini.

Lihat Komen
ADS