Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jumlah mangsa meningkat di Pahang, Perak
Diterbitkan:  Dec 27, 2014 10:00 AM
Dikemaskini: 4:08 AM

10am: Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Perak meningkat setakat 9 malam tadi dengan masing-masing mencatatkan 33,324 orang (Pahang) dan 6,335 (Perak).

    

Di Pahang, Jumlah mangsa menunjukkan peningkatan sedikit kepada 33,324 orang daripada 8,477 keluarga berbanding 32,380 orang daripada 8,280 keluarga di lapan daerah petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, daerah Kuantan masih merekodkan jumlah mangsa pemindahan paling banyak iaitu 16,266 orang daripada 4,416 keluarga di 43 pusat pemindahan.

"Manakala tujuh lagi daerah yang terlibat iaitu Jerantut menempatkan 5,403 mangsa di 51 pusat pemindahan, Temerloh (3,200 orang di 41 pusat), Maran (3,035 di 24 pusat), Pekan (2,573 di 28 pusat), Lipis (2,425 di 34 pusat), Bera (384 di lapan pusat) dan Rompin (38 di dua pusat)," katanya.

Hanya daerah Raub, Bentong dan Cameron Highlands tidak merekod mangsa pemindahan.

Di Perak, jumlah mangsa meningkat sebanyak 6,335 orang melibatkan 1,576 keluarga berbanding 6,119 mangsa daripada 1,513 keluarga petang semalam.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, bilangan mangsa di Perak Tengah menunjukkan peningkatan iaitu 3,113 orang daripada 796 keluarga berbanding 2,914 melibatkan 728 keluarga petang semalam.

Kawasan yang dinaiki air di derah itu ialah Belanja, Bota Kiri, Lambor Kiri, Lambor Kanan, Parit, Bota Kanan, Kampung Gajah, Pasir Salak dan Layang Kiri.

Jumlah mangsa yang terjejas di Kuala Kangsar juga meningkat kepada 2,629 orang melibatkan 633 keluarga berbanding 2,579 mangsa petang tadi.

Sementara di Hulu Perak yang melibatkan kawasan Lenggong, mangsa yang terjejas menurun kepada 593 mangsa berbanding 626 orang sebelumnya.

Kesemua mangsa ditempatkan di 51 pusat pemindahan.

Di Terengganu, jumlah mangsa menurun kepada 34,109 orang setakat pukul 7 malam berbanding 34,884 orang pada petang semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kemaman dan Dungun paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa bertambah.

Jumlah mangsa di Kemaman meningkat kepada 24,474 orang malam ini berbanding 21,381 pada sebelah petang dan Dungun kepada 8,197 malam tadi.

Daerah Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu menurun dengan masing-masing 1,258 dan 190 orang.

    

Setakat ini ia melibatkan 8,464 keluarga.

Sebanyak 95 pusat masih beroperasi iaitu Dungun 34, Hulu Terengganu (3), Kemaman (50) Kuala Terengganu (9).

Manakala keadaan di Besut, Marang dan Setiu telah pulih.

Di Kedah, banjir hanya melibatkan satu daerah iaitu Bandar Baharu dengan 14 mangsa daripada empat keluarga.

Kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Kecil Ulu, Mukim Bagan Samak.

Sementara tiga pusat pemindahan di daerah Padang Terap ditutup.

Pusat yang terakhir ditutup adalah di Dewan Petunas Felda Lubuk Merbau pada pukul 4.30 petang, selepas dua lagi pusat pemindahan di Dewan Kampung Tanjung Piring dan Dewan Kampung Sungai Kap ditutup pada pukul 10 pagi.

Di Johor, jumlah mangsa meningkat kepada seramai 896 mangsa daripada 214 keluarga.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negeri Johor, sebanyak dua pusat pemindahan banjir baharu dibuka menjadikan pusat pemindahan di lima daerah yang terlibat banjir ialah 12 buah.

Dua pusat pemindahan baharu itu ialah Sek Keb Kota Dalam Ayer Hitam dengan 36 mangsa dari lapan keluarga dan pusat pemindahan SMK Suria Perdana Ayer Hitam yang menempatkan 52 mangsa daripada 13 keluarga.

Lima daerah yang terlibat Kluang, Batu Pahat, Kulaijaya, Segamat dan Muar.

Di Perlis, jumlah mangsa kekal 209 orang membabitkan 66 keluarga sehingga pukul 8 malam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri (MKN) berkata  mereka ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Seramai 16 keluarga yang mengandungi 48 orang ditempatkan di Dewan Seri Malau, Beseri; 14 keluarga (48 orang) di Dewan Beseri Dalam manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Kangar (36 keluarga/113 orang), katanya.

Di Kelantan, jumlah mangsa kekal 45,467 orang di 96 pusat pemindahan di seluruh negeri, demikian menurut kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS