Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JKR: Jambatan Sultan Yahya tak tergelincir
Diterbitkan:  Dec 27, 2014 1:48 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Kementerian Kerja Raya mengesahkan tiada isu gelinciran pada Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Baharu, Kelantan seperti yang tersebar di media sosial.

Menurut kenyataan kementerian hari ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melakukan penyiasatan dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang gelinciran jambatan itu daripada tiang asal seperti yang didakwa.

"Kumpulan pakar JKR Malaysia dan JKR Kelantan akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan jambatan itu berada dalam keadaan baik dan selamat," katanya.

Ia menjelaskan bahawa bahagian 'crosshead' tiang sambut yang dimaksudkan memang dibina lebih lebar daripada yang lain dan direka bentuk tanpa 'pile cap' dengan cerucuk dipanjangkan hingga ke 'pier head'.

Ini bertujuan meminimumkan masalah hakisan di Sungai Kelantan.

"Reka bentuk ini menyebabkan berlaku pergerakan lebih besar antara lantai jambatan apabila terkena hentakan yang mana ia tidak membahayakan, malah lebih kukuh daripada biasa dengan penambahbaikan reka bentuk cerucuk jambatan," kata kenyataan itu.

Jambatan itu yang menghubungkan bandar Kota Baharu dengan Pasir Pekan, Tumpat masih ditutup kepada lalu lintas berikutan paras air di Sungai Kelantan meningkat melepasi struktur berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS