Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa di Hulu Dungun perlu bantuan segera
Diterbitkan:  Dec 27, 2014 6:25 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Kira-kira 3,000 mangsa banjir di 20 buah kampung di Hulu Dungun memerlukan bantuan pakaian serta makanan setelah hampir 80 peratus kawasan mereka ditenggelami air.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Shukor, Shukor Jailina Abdullah berkata hampir keseluruhan penduduk kini tinggal sehelai sepinggang dan memerlukan bantuan pakaian, lampin bayi, tuala wanita serta keperluan diri yang lain.

"Kami terpaksa memakai baju yang sama setiap hari. Kami tidak tahu nak minta tolong daripada siapa sebab kami semuanya mengalami nasib sama," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penghantaran bantuan ke kampung itu sukar dilakukan kerana  jalan utama runtuh akibat mendapan tanah.

Namun beberapa pihak termasuk Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Besi serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah dan beberapa NGO telah menghantar bantuan makanan, katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud berkata pihaknya akan memantau dan memastikan bekalan makanan di pusat pemindahan mencukupi.

"Kita sudah mula menghantar bekalan makanan tambahan ke pusat pemindahan lebih daripada 300 kampit beras, 100 botol minyak masak serta barangan keperluan dapur sejak Rabu," katanya.

"Banjir di Hulu Dungun kali ini sangat teruk dan banyak kampung yang terjejas, jadi kita edarkan barangan makanan sebagai makanan tambahan untuk mangsa sebab kita tidak mahu mereka terputus bekalan makanan," katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS