Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis kutip saman warga asing hampir RM100,000

Polis Johor berjaya mengutip saman trafik tertunggak warga asing berjumlah RM99,450 melibatkan 555 warga asing setakat tengah malam tadi sejak operasi dilancarkan semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata bagi tempoh 2000 sehingga 2013, lebih 300,000 saman trafik dikeluarkan terhadap warga asing di negeri ini.

"Bagi mereka (warga asing) yang was-was (berhubung saman trafik), kita dah siapkan kaunter untuk buat semakan. Selain itu, mereka juga boleh menyemak melalui telefon," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Majlis Bersama Komuniti di IPK, hari ini.

Sejak dilancarkan semalam, operasi untuk saman trafik tertunggak warga asing dijalankan di tiga lokasi iaitu R&R Gelang Patah, R&R Pandan dan KM2 Jalan Johor Baharu-Kota Tinggi. Operasi akan dijalankan sehingga 2 Jan ini.

Sementara itu, Mohd Mokhtar telah mengarahkan pasukan polis meningkatkan lagi rondaan terutamanya di kawasan kediaman yang terjejas banjir.

"Sekiranya ada kes-kes jenayah di kawasan terbabit, saya telah arahkan supaya disegerakan penyiasatan agar penjenayah-penjenayah ini boleh didakwa," katanya.

Setakat ini, belum ada laporan berkaitan jenayah di kawasan perumahan dilanda banjir, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS