Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Isu pembelian bas amfibia 'amphicoach' yang boleh bergerak di darat dan air oleh kerajaan negeri Terengganu tidak sepatutnya dipolitikkan, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata kerajaan negeri menjangkakan bas itu hanya boleh digunakan pada 2015 memandangkan kilang pengeluar di Malta memerlukan lapan bulan untuk membinanya mengikut rekaan dan spesifikasi yang dimahukan.

"Kerajaan negeri telah membayar deposit 50 peratus dan harga yang dipersetujui ketika rundingan ialah sebanyak 600,000 euro untuk sebuah amphicoach.

"Kita jangka menerima amphicoach itu pada Mei tahun depan yang akan diserahkan oleh menteri Malta," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas penyebaran di laman sosial tentang kenderaan itu yang masih tidak kelihatan dalam musim banjir ini.

Katanya mengikut perancangan, selain untuk tujuan pelancongan di Tasik Kenyir, kenderaan amfibia itu juga akan digerakkan pada musim tengkujuh kerana kebiasaannya pengangkutan darat tidak dapat digunakan kerana laluan dinaiki air.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata sehingga kini hanya terdapat 12 amphicoach di seluruh dunia kerana kilang kenderaan itu hanya mengeluarkan amphicoach berdasarkan tempahan khas.

"Spesifikasi yang kita mahukan ialah boleh memuatkan 50 penumpang dengan kelajuan maksimum lapan knot di dalam air manakala di atas jalan raya, kelajuannya ialah 120 kilometer sejam," katanya.

Pembelian amphicoach itu diilhamkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang mahu ia digunakan untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik sekitar bandar sebelum menyusuri Sungai Terengganu.

Ketika musim tengkujuh pula, ia akan digunakan untuk memindahkan penduduk terjejas banjir di kawasan yang tidak berarus deras ke tempat yang lebih selamat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS