Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, dua seni persembahan yang menjangkau 300 tahun daripada dua negara berbeza budaya berkongsi pentas.

Meskipun berbeza sejarah, wayang kulit Kelantan dan persembahan tradisional boneka Jepun Edo Ito Ayatsuri Ningyo berjaya dipersembahkan di pentas Akademi Seni dan Warisan Negara (ASWARA) di Kuala Lumpur minggu lalu.

Persembahan mencuit hati itu juga menampilkan gabungan muzik tradisional Melayu dengan petikan alat muzik tradisional Jepun yang dikenali sebagai shamisen.

Penonton disajikan dengan kisah percintaan antara putera raja Raden Lakjuna, berasaskan Hikayat Seri Rama , dengan seorang “Puteri Jepun”.

Ia bermula di Negeri Kuala Dua, apabila Raden Lakjuna memohon kebenaran ayahnya Maharaja Sri Rama untuk ke negeri Jepun, sementara Puteri Jepun pula sedang menunggu kekasih idamannya.

Sebaik tiba di negeri Jepun, keduanya jatuh cinta pandang pertama tetapi dalam masa yang sama “Raksasa” juga menaruh hati pada si puteri.

Beza bahasa bukan penghalang

Berlaku pertarungan antara Raden Lakjuna dan Raksasa tetapi kemenangan memihak kepada putera raja itu.

Pementasan 45 minit itu dipimpin oleh Roslan Harun sebagai tok dalang, yang memegang pelbagai watak iaitu Raden Lakjuna, Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana.

Manakala aktivis teater Jepun Shiokawa Kyoko melakonkan watak sebagai Puteri Jepun.

Wayang kulit Kelantan menggunakan manipulasi bayang melalui watak yang diperbuat daripada kulat di belakang kelir manakala Edo Ito Ayatsuri Ningyo pula menampilkan lakonan boneka yang dikawal menggunakan tali halus.

Gabungan seni kedua-dua negara itu menunjukkan perbezaan bahasa dan budaya tidak menjadi penghalang untuk penonton menikmatinya dan eksperimen seni itu juga menjadi penghubung kepada dua budaya.

Ia juga menjadi lambang bahawa hubungan Malaysia dan Jepun bukan sahaja terjalin melalui ekonomi, malah kukuh dalam aspek seni seni dan budaya.

Persembahan dua hari pada Isnin dan Selasa lepas itu dianjurkan oleh Institut Buku dan Terjemahan Malaysia (ITBM).

Lihat Komen
ADS